Skip to main content

UMP-SIASUN jalin kolaborasi strategik dalam pembangunan robotik dan perkhidmatan pintar  

Shenyang (China), 5 November- Kolaborasi strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan SIASUN Robot & Automation Co.Ltd. (SIASUN) di Shenyang, China yang merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi bakal membentuk rantaian nilai merangkumi teknologi teras, komponen teras, produk terkemuka dan penyelesaian industri terutamanya dalam perkhidmatan pintar berkaitan robotik.

Pada ketika ini nilai pasaran SIASUN adalah ke-3 dalam industri robot di peringkat global yang mempunyai kadar pertumbuhan paling pesat. Kerjasama ini akan memberi tumpuan terhadap pembangunan kepakaran dengan model kilang berkonsepkan pengajaran (teaching factory) bagi menyokong inisiatif pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu University Revolution Teaching Factory (URTC) berkaitan Revolusi Perindustrian (IR 4.0).

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ini menyaksikan  Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIASUN, Mr. Zhao Chen. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah, Presiden SIASUN Education Shenyang, Cun Yan Fan, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Naib Presiden Teutloff German TVET Institution, Andy Pan.

Bagi Profesor Ir. Dr Wan Azhar, kolaborasi ini adalah kesinambungan hasil kunjungan pihak SIASUN ke UMP baru-baru ini. Ianya akan melatih tenaga mahir bagi memperkasa kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi dan latihan di samping program pembelajaran sepanjang hayat dalam memastikan pengukuhan agenda bidang TVET UMP melalui kerjasama strategik dengan syarikat global.

“Dalam membangunkan ekosistem mampan inovasi teknologi berimpak tinggi, UMP juga turut menjalinkan kerjasama tiga pihak untuk projek Pusat Kecemerlangan Asia (ACES) bersama-sama dengan SIASUN yang berpangkalan di Singapura dan Sapura Industrial Bhd. (SAPURA),” ujarnya yang mengetuai lawatan kerja  ke Shenyang, China.

Beliau mengharapkan kolaborasi ini membuka peluang kerjasama strategik dalam mengadaptasi kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan lebih releven, realistik dan efektif yang dapat dimanfaatkan semua pihak.

Delegasi UMP dan SAPURA juga turut berpeluang melawat ke beberapa makmal berkaitan industri robot berteknologi tinggi di samping perbincangan kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan bersama Shenyang Institute of Automation, Chinese Academy of Sciences, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SIASUN serta Kolej Teknologi Liaoning.

Turut sama menyertai delegasi, Pengurus Besar Kanan (Teknikal & Operasi) Sapura Industrial Berhad, Adnan Jamal, Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Profesor Madya Ir. Dr Nurul Hazlina Noordin dan Pengurus Besar Sapura, Abdul Halim Baharom.

Disediakan oleh Pengurus ICoN, Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim