Skip to main content

UMP tawar kursus bahasa Mandarin untuk industri  

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) dan ATOZ Solution Sdn Bhd dalam usaha meningkatkan kemahiran kakitangan mereka dalam berbahasa Mandarin. Kolaborasi ini juga bakal memanfaatkan mahasiswa universiti terhadap penempatan latihan industri dan peluang kerjaya.

UMP diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim manakala Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) dan ATOZ Solution Sdn Bhd diwakili oleh Timbalan Projek Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Hu Jiu Lin dan Pengurus Operasi ATOZ Solution Sdn Bhd,  Mohamad Fauzi Mohd Jaya dalam majlis yang berlangsung Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.

Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP sebagai sebuah universiti teknologi yang terunggul, pihaknya sentiasa meningkatkan jalinan kerjasama antara universiti dengan industri. 

Ujarnya, UMP mencapai kecemerlangan apabila meraih cemerlang lima bintang dalam semua penarafan pencapaian termasuklah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),  Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara.    

Malahan diiktiraf sebagai universiti teknikal yang berkembang paling pantas serta berada di kedudukan 188 terbaik dalam penarafan QS Universiti Rangking Asia yang diumum baru-baru ini.

Menurut Prof. Dato’ Sri Dr. Daing, beliau berkeyakinan Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) mempunyai kemampuan menawarkan kursus Bahasa Mandarin untuk Industri yang bakal diadakan di Malaysia-China Kuantan Industri Park (MCKIP). 

Beliau juga berharap kerjasama strategik antara Universiti dengan Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang berada di MCKIP ini akan memanfaatkan dalam penyelidikan, latihan industri, peluang kerjaya dan lain-lain.

Manakala Hu Jiu Lin berkata, kerjasama antara industri dengan universiti ini sangat bermakna apatah lagi UMP diiktiraf terbaik terutamanya dalam bidang kejuruteraan Mekanikal dan ianya bersesuaian dengan operasi syarikatnya berkaitan besi dan keluli. 

Katanya, kursus untuk pekerja ini bertujuan meningkatkan komunikasi antara pekerja dan menggalakkan mereka untuk menguasai Bahasa Mandarin bagi meningkatkan kebolehan dalam operasi industri serta  dapat berkongsi kepakaran dalam bidang ini. 

Manakala Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan, Yong Ying Mei pula berkata, kursus Bahasa Mandarin bukan lagi terhad dalam perbualan seharian sahaja, tetapi ianya juga  melibatkan glosari dalam bidang industri besi dan keluli. 

Justeru, tenaga pengajar UMP akan mengarang sebuah buku Bahasa Mandarin untuk kegunaan industri tersebut bagi membantu kakitangan mereka menguasai Bahasa Mandarin secara berkesan dan melibatkan usahasama ATOZ bagi menjayakan kursus untuk industri ini.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat