Skip to main content

Wonders of Oud Rungkai Keunikan Pokok Gaharu

Kuantan, 17 Disember- Keunikan pokok Gaharu atau dalam bahasa Inggerisnya Oud adalah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Kegunaan Gaharu dalam pelbagai bidang terutamanya sebagai sumber minyak wangi, kosmetik, perubatan tradisional, minuman, seni bina dan lain-lain lagi merungkai misteri alam yang terdapat di negara kita.

UMP menerbitkan sebuah buku bertajuk Wonders Of Oud  yang memperihalkan aspek kajian saintifik mengenai Gaharu dan peluang perniagaan yang mampu diperolehi. Sebanyak lima bab yang dibincangkan mengenai rahsia Gaharu.

Bab pertama adalah mengenai minyak yang terdapat di dalam pokok Gaharu yang merupakan bahan utama dalam pembuatan minyak wangi. Ia banyak digunakan di Negara Timur Tengah dan mula mendapat tempat di Negara Barat sehingga diangkat menjadi minyak wangi abad ke-21.

Bab kedua pula membincangkan kegunaan Gaharu dalam bidang kecantikan dan penjagaan diri. Walau bagaimanapun, kegunaan Gaharu dalam bidang ini masih lagi dalam penyelidikan berbanding kegunaannya di dalam industri minyak wangi.

Pada bab ketiga, pembaca akan didedahkan dengan Gaharu dalam bidang perawatan tradisional. Sejak zaman dahulu kala, Gaharu dikatakan  dapat mengubati pelbagai penyakit. Bab ini juga menerangkan potensi dan nilai semasa Gaharu dalam industri farmaseutikal.

Selain itu, kegunaan daun Gaharu untuk membuat teh turut dibincangkan dalam bab empat buku ini. Bab ini juga mendedahkan permintaan daun Gaharu di pelbagai negara meningkat dan kajian yang dilakukan samada daun Gaharu digunakan sebagai perawatan tradisional adalah mitos atau bukti saintifik.

Di akhir bab ini, rumusan mengenai keempat-empat bab ini dirangkumkan dan persoalan mengenai rahsia Gaharu terjawab. Oleh yang demikian, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu sedar akan kepentingan memelihara khazanah alam untuk masa depan sejagat. Maklumat lanjut tentang penerbitan buku UMP layari http://apps-cfm.ump.edu.my/staff/ebooksump/index.cfm.

Tajuk             : Wonders Of Oud

Penulis          : Puteri Fadzline Muhamad Tamyez, Norul Amalina Sabri, Fazeeda Mohamad & Cheng Jack Kie

ISBN              : 9789672229321

Muka Surat   : 92

Tahun            : 2019

 

Disediakan oleh Shalfarina Shahriman daripada Penerbit UMP  

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri