Skip to main content
vc-qna1

UMP Tumpu Inovasi 4.0

Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini. Dengan pencapaian lima bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) pembudayaan  universiti ini akan terus melonjakkan kecemerlangan universiti ini menuju kegemilangan.

UMP juga cemerlang dengan lima bintang dalam Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA) 2017, Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) 2017 dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan  dengan 5 Bintang berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Bagi Tahun 2016.

Bersama Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri. Dr. Daing Nasir Ibrahim mengupas `Inovasi Nilai 4.0: UMP di Lautan Biru sempena Majlis Amanat Naib Canselor UMP 2018 baru-baru ini.

 

Soalan 1

Bagaimana Inovasi Nilai 4.0 ini akan dilaksanakan di UMP?

UMP akan memberi tumpuan terhadap Inovasi Nilai yang akan memberi impak tinggi kepada organisasi dan membawa manfaat terhadap komuniti. UMP harus menawarkan pembelajaran dan penyelidikan terhadap penyelesaian masalah dalam Industri dan teroka peluang baharu. Ini termasuklah segmen dan pendekatan yang baharu selain perlu mencipta perkara baharu, cipta inovasi yang bermanfaat tinggi.

Tumpuan akan diberikan dalam beberapa aspek;

•      Menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan industri  

•      Mentafsir semula dan menyelesaikan masalah industri sedia ada

•      Mengenalpasti dan menyelesaikan masalah baharu atau meneroka peluang baharu  

 

Inovasi dan kerja penyelidikan yang dijalankan di universiti ini juga mengambil kira faktor kemanusiaan, kesejagatan dan kemasyarakatan. Inovasi yang ringkas tetapi berimpak besar terhadap transformasi sosioekonomi dan penghidupan rakyat adalah lebih bermakna berbanding inovasi teknologi yang kompleks dalam parameter makmal universiti.

 

Soalan 2

Apakah lima lonjakan strategik UMP yang akan diberi tumpuan?  

Bertepatan dengan tema menjana kegemilangan UMP akan terus merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dengan memfokuskan lima lonjakan strategik  iaitu;

·         Keunggulan Akademik

·         Kelestarian Kewangan

·         Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi

·         Kemampanan Sosio-Ekonomi dan Persekitaran

·         Keunggulan Jenama.

UMP akan memastikan pembentukan kurikulum akademik yang akan dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan masyarakat.  Penekanan akan diberikan kepada pendekatan Pendidikan Fleksibal  (Fleksible Education) dengan merujuk kepada intipati Pengajaran dan Pembelajaran 4.0 yang meliputi isu pengetahuan itu sendiri, peranan industri dan implikasi kepada kemanusiaan.

 

Soalan 3

Sejauhmana  peranan UMP dalam melahirkan graduan kompeten

UMP sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. Program kejuruteraan sentiasa ditambahnilai melalui proses penandaaras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman.

 

Pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman mampu melahirkan graduan berdaya saing dan glokal. Model kerjasama akademik bagi program dwiijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) serta program dwiijazah Kejuruteraan Perniagaan dengan  Reutlingen University di Jerman. Kerjasama lain adalah program kerjasama dengan Northern Illinois University (NIU) bagi menawarkan program dwi-ijazah kejuruteraan teknologi.

Universiti akan terus  menjalinkan hubungan baik dengan industri dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dapat memenuhi keperluan industri dan tahun lalu menyaksikan UMP capai 94.6 peratus dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan sementara tahun 2016 peratusannya adalah 95.1 peratus.

Soalan 4

Apakah inisiatif strategik UMP pada masa akan datang?

Pada masa ini UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) hasil kerjasama Syarikat Malaysian Rail Link (MRL) dan Syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCC) dalam      dalam bidang pengangkutan kereta api.

UMP juga  meneroka prospek pengembangan industri gelatin halal dengan rakan-rakan sinergi lain dari sektor awam atau swasta. Potensi besar industri gelatin halal dari sudut nilai komersial dan pengembangan keusahawanan merupakan dimensi signifikan yang turut diambil kira dalam pembangunan kerjasama ini.

Kerjasama ini memperlihatkan sokongan pihak berkepentingan seperti  Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Majlis Amanah Rakyat dan Unit Perancang Ekonomi bagi meneruskan inisiatif-inisiatif berkaitan kerjasama ini.

Dalam perkembangan teknologi Blockchain, UMP menjadi universiti pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi ini bagi Pengesahan Perakuan Sijil UMP Valid8 dan Mobile Wallet –UMP XChain atau Dompet Mudah Alih yang dilaksanakan di kampus. Pada masa ini UMP sedang membangunkan Aplikasi Pengesanan Sumber dan Logistik Penghasilan Produk Halal.

UMP bakal berkolaborasi dengan Technical University of Munich (TUM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan Asia Centre of Excellence for Smart Technology (ACEST) sebagai menyediakan perkhidmatan penyelesaian tahap tinggi Revolusi Industri 4.0 di rantau ASEAN.

Usaha melestarikan kewangan universiti juga usaha terus dilaksanakan  terhadap penjanaan pendapatan  dengan meningkatkan pelaburan serta mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong terhadap kelestarian universiti. Tumpuan lain adalah inisiatif strategik UMP pada tahun ini merangkumi Kilang Pengajaran, Projek Gelatin Halal dan Taman Bioaromatik di Luit Pahang.

 

Soalan 5

Bagaimana peranan UMP dalam Memasyarakatkan Teknologi

UMP berperanan sebagai agen transformasi yang melewati parameternya sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan yang memerlukan  universiti untuk turut melipatgandakan usaha terhadap masyarakat secara konstruktif dan terarah.

Dalam merelalisasikan  agenda Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi”, UMP terus  menggembleng bakat-bakat yang ada di Universiti ini secara  strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat di peringkat akar umbi.

Begitu juga dengan usaha inovasi sosial yang merupakan satu gerakan usaha kerja amal kemasyarakatan dan pemindahan pengetahuan atau ilmu ke peringkat yang seterusnya antaranya Program Facelift D’ Kuala antara aktiviti atau usaha bagi mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan. Projek Universiti Komuniti (Community University) juga digerakkan secara besar-besaran UMP untuk memasyarakatkan universiti melalui pengetahuan dan teknologi.

Peranan dan tanggungjawab sesebuah universiti itu tidak terhad dalam menyalurkan ilmu kepada mahasiswa. UMP sebagai universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi ini melaksanakan progra m-program latihan kemahiran dalam membantu meningkatkan pembangunan modal insan di kalangan belia dan penduduk sekitar kampus  bersama rakan strategik, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan UMP Advanced  melaksanakan program yang dinamakan Empower ECER.

Program ini mensasarkan peningkatan kemahiran dan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar. Penghasilan bidang kepakaran universiti sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat, merangsang pertumbuhan ekonomi, memudahcara transformasi dan yang pastinya dapat memberi manfaat besar kepada penduduk setempat. Kerajaan pada masa ini berupaya melebarluaskan pendidikan di segenap lapisan masyarakat yang mencorakkan masa depan ke arah negara yang lebih maju dan sejahtera.

TAGS / KEYWORDS