Skip to main content

Penyelidik UMP cipta Serum Dr. Fur untuk Binatang Peliharaan

Kuantan, 2 Julai- Sejak kebelakangan ini semakin ramai pencinta haiwan terutama haiwan peliharaan seperti kucing yang begitu mementingkan aspek penjagaan malahan mereka sanggup  berbelanja besar bagi memastikan kucing mereka kelihatan sihat dan berbulu cantik.

Namun masalah yang sering dihadapi apabila bulu “si Manja” mereka ini berguguran apabila disentuh malahan melekat pada pakaian dan sekitar tempat tinggal serta di dalam rumah. Bukan itu sahaja, malahan menghalang bagi peminat kucing yang agak sensitif atau `alah’ kepada bulu untuk bermanja dengan kucing mereka.   

Berdasarkan faktor tersebut mendorong penyelidik Unversiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Nina Suhaity Azmi dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) menghasilkan produk penyelidikan Dr. Fur iaitu serum bagi binatang peliharaan.

Ujarnya produk ini membantu untuk mengelakkan keguguran bulu dan mengalakkan pertumbuhan bulu bagi haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Tambahan pula Dr. Fur diformulasikan dengan bahan aktif khas yang dinamakan Glycosaminoglycans (GAGs) yang diekstrak dari sumber marin yang mudah untuk didapati serta  jaminan status halal produk memandangkan kebanyakan GAGs yang terdapat di pasaran merupakan dari sumber yang tidak dapat dijamin status halal.

“Idea kajian ini bermula untuk mencari sumber alternatif bagi GAGS halal ini bermula bermula pada tahun 2013 dan telah berjaya disiapkan pada tahun 2017 dengan formulasi serum bulu ini. Hasil kajian mendapati kos pengekstrakan bahan marin ini adalah rendah namun dapat menghasilkan GAGS yang tinggi dan berkualiti,” katanya yang pernah menghasilkan produk melebatkan rambut dan  .

Tambahnya lagi, berdasarkan ujian makmal yang dijalankan menunjukkan potensi produk yang tinggi bagi tujuan yang disasarkan iaitu mengelakkan keguguran bulu dan menggalakkan pertumbuhannya.

Menurutnya, terdapat tiga fasa utama dalam pertumbuhan rambut dan bulu iaitu fasa pertumbuhan aktif (Anagen), fasa peralihan (Catagen) dan fasa rehat (Telogen). “Serum bulu yang dibangunkan UMP ini mempunyai mukopolisakarida yang berfungsi untuk membantu fasa Anagen dan Catagen yang secara terus akan menggalakkan pertumbuhan bulu,” ujar beliau.

Menurut Dr. Nina, produk ini mendapat kerjasama dengan rakan kolaborasi UMP, Zastech PLT iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah program keusahawanan tekno Symbiosis. Symbiosis merupakan program di bawah seliaan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). Kini, Zastech PLT telah menerima dana CRDF1 dari MTDC untuk mengkomersilkan produk serum bulu Dr. Fur ini.

Produk Dr. Fur yang dihasilkan ini telah diuji keberkesanannya untuk mengatasi masalah keguguran bulu haiwan peliharaan yang menjadi kerisauan pemilik-pemilik haiwan peliharaan. Kos penghasilan yang murah membolehkan produk dipasarkan pada harga yang kompetitif berbanding produk lain yang diimport.

Beliau turut  berkongsi cara penggunaannya hanya dengan menyapu serum tersebut di bulu haiwan dengan kekerapan dua kali sehari. Sekiranya pengguna yang berminat dengan produk ini boleh menghubungi pihak Zastech PLT di 019– 952 7576 (En. Zamri) atau 016 – 246 8215 (Pn. Azliza).

Produk ini juga diiktiraf antarabangsa apabila memenangi pingat dan anugerah khas dalam pertandingan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa  Seoul International Invention Fair (SIIF) 2015, International Invention, Innovation & Technology Exposition (ITEX) 2015 dan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) UMP.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat