Skip to main content
inova1

UMP raih Pingat Emas dan Anugerah Khas dalam i-Inova 2018

Nilai - Empat penyelidik muda Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih  empat pingat dalam 8th Exposition On Islamic Innovation (i-INOVA) 2018 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Pingat emas dan Anugerah Khas Fatimah Fehri telah dimenangi oleh  Syarifah Nur Ezatie Mohd Isa dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli  dengan tajuk penyelidikan G2men Coating And Insulation Spray From Industrial Wastes.

“G-2MEN adalah kombinasi Teknologi hijau dan bitumen  yang  digunakan untuk salutan penebat atau dinding yang diformulasi menggunakan bahan terbuang dari industri iaitu minyak hitam yang  terpakai dan plastik terbuang untuk menyelesaikan masalah dinding berkulat akibat dari faktor kelembapan,” katanya. 

Selain itu, Muhammad Syafiq Alias dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan  juga turut meraih pingat emas dan Anugerah Khas Ibnu Sina menerusi  penyelidikan yang bertajuk New Innovation Of Honey Filling Process.

Sementara itu, Muhammad Luqman Mohd Azmi dan Muhamad Zulikhram Noordin pula dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal telah memenangi pingat perak menerusi hasil penyelidikan yang bertajuk Real Time Monitoring For Leak Detection And Location In Water Distribution System Using Instantaneous Frequency Analysis Based On Pressure Transient Signal.

Pingat lain dimenangi Joanne Bay Ji En dan Teh Ben Hur dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam menerusi penyelidikan bertajuk Mesonaf: Novel Mixed Mesocarp And Kenaf Fibers To Control Termites Attack For Above Ground dengan meraih pingat gangsa.

Bagi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr Yusserie Zainuddin turut melahirkan rasa bangga di atas keupayaan dan kejayaan penyelidik muda UMP meraih kejayaan dalam pertandingan ini. Kejayaan ini merupakan pemangkin kepada mahasiswa UMP yang lain untuk menghasilkan produk penyelidikan dan teknologi untuk dimanfaaatkan oleh masyarakat umum.

Beliau mengharapkan kejayaan ini akan memberi semangat kepada penyelidik muda  untuk terus menerokai dunia penyelidikan serta menarik  minat terhadap semangat  berdaya saing pada masa akan datang.

Pertandingan 8th Exposition On Islamic Innovation (i-INOVA) 2018 telah mempertandingkan 120 produk yang disertai dari agensi kerajaan dan pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi. Majlis Perasmian Penuntup disempurnakan oleh  Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bertempat di USIM.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC