Skip to main content

Alex tampil cemerlang harumkan nama UMP rangkul 15 pingat

Perlis, 8 April- Pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Alex Tiong Sie Hung tampil cemerlang apabila berjaya mengharumkan nama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam acara sukan renang apabila merangkul 15 pingat iaitu 8 pingat emas , 5 pingat perak dan 2 pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga dan Renang MASUM 2018 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Walaupun Alex kekal menyumbang 15 pingat namun pencapaian kali ini masih tidak dapat menandingi pencapaiannya dengan memungut 11 pingat emas, 1 pingat perak and 3 pingat gangsa dan memecahkan dua rekod baharu pada tahun lalu.

“Saya akur dengan pencapaian ini dan berbangga membawa nama UMP setelah berusaha bersungguh- sungguh menjalani latihan untuk kejohanan kali ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan keluarga, rakan-rakan dan staf PSK yang telah banyak membantu saya dalam memudahkan urusan saya di sini”, katanya.

Kejayaan manis ini juga turut dikongsi dengan atlit acara lompat tinggi yang telah disumbangkan oleh pelajar tahun dua dari Fakulti Pengurusan Industri, Azrul Ahmad Fadzil atas kejayaan memperolehi pingat gangsa.

Menurut Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan (PSK) UMP, Abd Rahman Hj Safie berbangga dengan pencapaian kontigen UMP kali ini dan mengharapkan usaha berterusan pihak universiti dalam mencari bakat-bakat baharu yang cemerlang bagi mewakili universiti ke kejohanan sukan utama pada masa akan datang.

“Kejayaan Alex ini sebenarnya memberikan inspirasi kepada pelajar lain bahawa kejayaan dalam akademik seiring kejayaan dalam bidang- bidang lain seperti sukan,” ujar beliau.

 

Disediakan oleh Fifi Maizura Fauzan dari Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad