Skip to main content

Atlit UMP rebut pingat kejohanan SUKIPT

Seramai 80 orang atlit Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini sedang bersaing merebut kejuaraan dalam  acara Taekwando, Pencak Silat, Memanah, Boling Padang, Petanque, Renang.dan Golf di Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang berakhir esok (10 Februari) di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi setelah berkampung selama sepuluh hari.

“Menang atau tewas adalah perkara yang kedua, tetapi objektif sebenar sukan adalah lebih memupuk semangat setiakawan dan perpaduan antara mahasiswa  tanpa mengira dari pelbagai IPT ataupun jurusan pengajian. Namun, kontigen UMP perlu memberikan saingan yang sengit kepada IPT lain semasa bertanding,” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Dato ts. Dr Rosli Mohd Yunus dalam Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan di Dewan Astaka UMP Gambang baru-baru ini.

Beliau menyatakan hasrat agar kejohanan sebegini dianggap sebagai penting dalam menggalakkan dan mengekalkan hubungan muhibbah di kalangan semua pelajar universiti seluruh Malaysia selain ianya juga merupakan salah satu platform yang baik dalam mengembangkan bakat sukan serta melahirkan warga universiti yang sentiasa sihat, cergas dan bersatu.

Sementara itu Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd Rahman Hj Safie juga menjelaskan pasukan yang layak untuk mewakili UMP pada kejohanan SUKIPT pada kali ini dipilih berdasarkan prestasi dan persediaan yang berterusan sepanjang Sidang akademik dijalankan.

“Pihak PSK membuat penilaian yang teliti terhadap pasukan-pasukan yang akan mewakili UMP pada kejohanan  ini memandangkan SUKIPT adalah satu kejohanan peringkat tetinggi dalam kalangan pelajar IPT di seluruh Malaysia kerana ianya disertai oleh semua IPT termasuk swasta, kolej bersekutu dan juga politeknik selain beberapa IPT dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Oleh itu hanya pasukan yang benar-benar bersedia sahaja yang akan diberi peluang untuk mewakili UMP,” jelasnya.

Mengulas mengenai persiapan kontigen UMP, Abd Rahman menjelaskan, kesemua tujuh acara yang disertai oleh UMP, kesemua pasukan telah memulakan persiapan mereka sebaik sahaja bermulanya sidang akademik 2018/2019 bermula iaitu sekitar September 2017 yang lalu dan mereka memulakan latihan secara intensif dan latihan pusat selama dua minggu sebelum kejohanan.

Bendera UMP diserahkan secara rasminya kepada Ikon Sukan UMP iaitu Alex Tiong Sie Hung dari Sukan Renang oleh[H1]   Prof Dato ts. Dr Rosli sebagai simbolik bermulanya cabaran UMP ke Kejohanan SUKIPT 2018. Dalam pada itu UMP turut melancarkan t-shirt berwajah baharu untuk disarung para atlit pada kejohanan SUKIPT kali ini.

Majlis turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Prof Dato’ Dr Ishak Ismail , dekan fakulti, pegawai Sukan UMP selain jemputan khas bagi memeriahkan majlis. Memeriahkan acara kehadiran para atlit dan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang yang turut diberi sedikit penerangan mengenai tatacara kemasukan bagi menyambung pengajian di universiti ini.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi