Skip to main content

MASUM serlah bakat mahasiswa dalam sukan

Kuantan, 23 Julai- Penganjuran  Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bermula 23 Julai 2019 hingga 4 Ogos 2019 ini di Kompleks Sukan UMP Gambang menjadi medan atlet daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) mempersiapkan diri ke peringkat antarabangsa.

Seramai 4,093 atlet dan pegawai dari 20 kontinjen Universiti Awam berada di UMP Kampus Gambang dan UMP Pekan sepanjang Karnival Sukan MASUM 2019 kali ini yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah penganjuran. 

Karnival dirasmikan oleh Pengerusi UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Ts. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Prof. Madya Dr. Nurul Fajar Abdul Manaf.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan, UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar. 

Menurut Prof Ts. Dr. Wan Azhar, UMP amat berbesar hati dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakan-rakan Universiti Awam lain untuk menjadi tuan rumah kepada Karnival Sukan MASUM kali ini. 

Katanya, persediaan teknikal dan persiapan logistik telah pun diaturgerak oleh pihak Pusat Sukan & Kebudayaan UMP bersama-sama pusat-pusat tanggungjawab yang lain sejak awal lagi bagi memastikan keselesaan para atlet dan pegawai dari semua kontinjen yang terlibat. 

Justeru katanya sebagai tuan rumah, UMP akan sedaya-upaya berusaha untuk memberikan sambutan, layanan dan perkhidmatan terbaik kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian.

“Walaupun setiap kontinjen yang mengambil bahagian mempunyai sasaran buruan pingat masing-masing daripada semua 19 acara yang dipertandingkan, apa yang lebih utama pada hemat saya ialah bagaimana Karnival Sukan MASUM ini dapat ditonjolkan sebagai kejohanan sukan bukan biasa-biasa, tetapi luar biasa kerana disertai oleh warga universiti yang pintar dan bijaksana,” katanya. 

Selain itu, kematangan sikap yang diperlihatkan setiap atlet merupakan pancaran kepintaran dan kebijaksanaan tersebut. Antara acara yang dipertandingkan ialah olahraga, bola tampar, bola baling, bola jaring, badminton, memanah dan banyak lagi. Antara yang istimewa apabila acara ragbi wanita turut dipertandingkan dalam kejohanan kali ini.

Dalam pada itu seramai 200 sukarelawan UMP turut sama membantu dalam memastikan penganjuran berjalan lancar di beberapa lokasi termasuk di sekitar Kuantan yang menjadi lokasi kejohanan antaranya Pusat Akuatik Majlis Perbandaran Kuantan, Gelanggang Lawn Balls SUKPA, Pusat Boling Mega Lanes, Megamal Kuantan, Padang Ragbi TUDM dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang.

Dalam program tersebut, bacaan lafaz ikrar kejohanan telah diketuai oleh atlet bola baling UMP dan Kebangsaan, Nor Amira Wahida Abdul Wahid dan bacaan ikrar daripada Pengerusi Teknikal dan Pertandingan MASUM oleh Abu Sufian Mokhtar.

Disediakan oleh Norsalwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri