Skip to main content

Pasukan bola sepak UMP timba pengalaman di Kunming China

Kunming (China), 12 Jun- Pasukan bola sepak Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpeluang menimba pengalaman di Kunming China selama 10 hari bagi menyertai 2019 South & South East Asia Student College Culture And Sports Week di Kunming University of Science & Technology (KUST) bermula 3 hingga 12 Jun 2019 yang lalu.

Seramai 18 orang pemain dipilih beraksi ke kejohanan ini bagi membuat persediaan dan latihan untuk menghadapi beberapa kejohanan yang bakal disertai sepanjang tahun 2019 dan 2020 nanti dengan diiringi jurulatih pasukan, Mohd Farid  Md Ali.

Kejohanan menyaksikan pasukan UMP FC berjaya menundukkan pasukan Vietnam National University (VNU) dengan jaringan 4-2 dan seri dengan pasukan Myanmar Mandalay University (MU) dengan jaringan 1-1. Namun UMP FC terpaksa akur dengan kekalahan apabila tewas kepada  Yunnan Normal University China (YNU) 0-4 dan 0-2 kepada Souphannouvong University Laos.

Bagi pengurus pasukan, Abu Sufian Mokhtar berkata, selain daripada memperolehi pengalaman dalam bola sepak, mahasiswa UMP memperolehi banyak pengalaman lain termasuklah merasai suasana pembelajaran di KUST, budaya masyarakat setempat dan juga merasai sendiri “campus life” di sana.

Manakala bagi Mohd Farid, peluang menimba pengalaman beraksi bersama pasukan lebih berpengalaman di peringkat antarabangsa ini diharap dapat membantu mematangkan para pemain sekaligus dijadikan bekalan bagi menghadapi beberapa kejohanan di peringkat domestik pada masa akan datang. Pihaknya juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak universiti  yang telah memberi peluang buat atlit UMP menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi.

Program anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan ini mendapat kerjasama pihak Pejabat Naib Canselor, Pejabat Antarabangsa dan juga Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA). Kejohanan tahunan anjuran KUST ini adalah daripada program pertukaran pelajar antarabangsa dan mobiliti mereka yang telah memasuki tahun ke-5 penganjuran.

Selain daripada memperolehi pengalaman beraksi dengan pasukan pasukan yang terbaik dan berpengalaman di pentas Asia dan Asia Tenggara, para pemain UMP juga dapat menimba pengalaman menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di Kunming,China.

Mereka turut dijemput oleh Jeneral Konsulat Malaysia di Kunming untuk menyambut Aidilfitri di Rumah Malaysia pada Hari Raya ke-2 dengan sambutan yang meriah. Malahan berpeluang melawat tempat menarik di sekitar Kunming seperti Green Lake,Golden Temple dan   menunaikan solat di Masjid Yongning yang telah dibina sejak Dinasti Yuan. Turut sama bersama pasukan di Kunming ialah Pengarah dan Timbalan Pengarah Pejabat Antarabangsa UMP Dr.Nik Aloesnita Nik Alwi dan Dr.Mohd Azmir Mohd Azhari.

Disediakan oleh Mohd. Farid Ali daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim