Skip to main content

Penganjuran 3rd UMP Handball medan pemilihan pemain negara ke Sukan Asia Jakarta 2018

Kuantan, 6 Mei – Penganjuran 3rd UMP Handball East Coast Championship yang berlangsung d Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang baru-baru ini menjadi medan pemilihan awal pemain negara ke Kejohanan Sujkan Asia Jakarta 2018. Edisi 2018 ini telah dianjurkan oleh Kelab Bola Baling UMP dengan kerjasama Pusat Sukan UMP dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Penganjuran melibatkan pelajar subjek Ko-Kurikulum UQS 2061 sebagai krew kejohanan.

Kejohanan kali ketiga ini telah disertai 36 pasukan dari seluruh negara termasuk pasukan SUKMA Negeri seperti WIPERS, Selangor, Pahang dan Terengganu. Bagi Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), kejohanan ini telah dipilih oleh mereka sebagai pemilihan awal pemain negara ke Sukan Asia 2018 Jakarta atas faktor penganjuran yang berkualiti dan berstandard tinggi.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang diiringi Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd Rahman Hj Safie. Turut serta, pengarah program, Muhammad Nur Aimanuddin Mohd Zin, Ismail Ketua Bahagian Sukan, Mohd Aznorizamin Ismail dan wakil Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Faisal Rosman. Beliau turut menyaksikan juga perlawanan pembukaan pasukan UMP menentang Kelab KUHAC Legend.

Menurut Faisal, penganjur telah menyediakan satu standard penganjuran kejohanan bola baling yang hebat dan berstandard tinggi dari segi lokasi penganjuran, jawatankuasa pelaksana, krew dan kepengadilan.

Sementara itu, bagi Pengurus Pasuksan WIPERS, Muhd Khairul Hafidzin yang juga bekas pemain bola baling negara, memuji penganjuran kali ini yang boleh dikategorikan sebagai bertaraf antarabangsa dari persiapan lokasi, krew Teknikal dan berharap kejohanan ini diteruskan lagi pada tahun hadapan. Pasukan WIPERS pertama kali menyertai kejohanan ini kerana mendapat maklumat penganjuran yang berkualiti.

Manakala, Rahman berkata, beliau akan memberi sokongan penuh dan bantuan jika Kelab Bola Baling UMP menganjurkan kejohanan ini melibatkan jemputan pasukan antarabangsa pada 2019 kelak yang mana sasaran adalah sekurang-kurangnya tiga pasukan dari negara luar turut beraksi.

Kejohanan menyaksikan pasukan Kelab Profesional JJ Boys dinobatkan johan bagi kategori lelaki yang telah menewaskan pasukan Kelab Harun Boys manakala pasukan SUKMA Terengganu (Turtle Fighters) menjuarai bagi kategori wanita.

 

Disediakan Nur Adam Maxx dari Pusat Sukan UMP