Skip to main content

Sepak Takraw UMP raih dua pingat dalam Kejohanan SUKUM

Kuantan, 20 Ogos - Pasukan Sepak Takraw Senior Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraih pingat emas kategori Sepak Takraw Senior dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-43 baru-baru ini selepas menewaskan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan street game 21-9 dan 21-12. Pingat gangsa dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Pasukan ini terdiri daripada Muhammad Syazwan Husin, Mohd Irwanshah Abd. Talib dan Mohd Zaki Mohd Ali. Bagi Muhammad Syazwan yang mewakili pasukannya melahirkan rasa syukur dan gembira diatas pencapaian serta kemenangan yang diperolehi oleh pasukannya dalam menjuarai pingat emas sekaligus mempertahankan pingat tersebut selama tiga tahun berturut-turut dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-43.

“Setakat ini kami berpuas hati dengan pencapaian ini kerana untuk mengekalkan kejuaraan lebih sukar daripada mencari kejuaraan. Tambahnya lagi untuk edisi ke-43, UMP yang merupakan tuan rumah kejohanan SUKUM sedikit sebanyak memberi tekanan buat pasukan.

“Walaubagaimanapun ini bukanlah halangan kepada kami untuk terus kekal memberikan serta mempamerkan aksi-aksi yang cemerlang dan terbaik kerana dengan komitmen dan semangat juang yang tinggi kami yakin dapat mengekalkan kejuaraan ini di samping mengharumkan nama UMP dalam kejohanan kali ini”, katanya.

Sementara itu, bagi kategori Sepak Takraw Double pula dimenangi oleh pasukan Universiti Malaya (UM) selepas menewaskan pasukan tuan rumah UMP dalam perlawanan penuh debaran 15-21,16-21 dan 13-21. Pasukan Sepak Takraw Double UMP dianggotai oleh Irwan Shah Rizal Amir Hamzah dan Mohd Afendi Zamri. Pingat gangsa dimenangi oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Manakala bagi kategori Sepak Takraw Veteran pingat emas dimenangi oleh Universiti Malaya (UM), pingat perak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pingat gangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Majlis penyampaian hadiah turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Pembangunan Pelajar, Dr. Muhammad Mat Noor, Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan UMP, Abd Rahman Hj. Safie. Perlawanan Sepak Takraw berlangsung di Dewan Utama, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang melibatkan 28 pasukan yang terdiri daripada 11 universiti awam.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Koporat PNC

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim