Skip to main content

Sukan Berbasikal erat hubungan warga UMP

Pekan, 16 September 2020 - Seramai 100 staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai program berbasikal ‘Kayuhan Santai UMP’ sejauh 28 km bersempena sambutan Hari Malaysia di UMP Pekan sebagai mengeratkan hubungan serta  menyemarakkan semangat cintakan tanah air baru-baru ini .
 
Gimik pelepasan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK) merangkap Pengerusi Kayuhan Santai UMP, Profesor Dato’ Mejar (K) Ts Dr. Rosli Abu Bakar.
 
Dalam ucapannya, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi menyeru agar warga UMP menjaga kesihatan fizikal dan mental serta tubuh badan yang sihat. 

“Selain itu, luangkanlah masa untuk aktiviti bersenam dan kesibukan bekerja bukan penghalang atau alasan untuk beriadah. 
 
“Program seumpama ini bukan sahaja memupuk semangat menyemarakkan sambutan Hari Malaysia malah menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan staf di samping memupuk semangat kerja berpasukan. 

“Diharapkan program ini dapat diadakan secara tahunan,” katanya.
 
Manakala Profesor Dato’ Mejar (K) Ts Dr. Rosli pula berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan yang menggalakkan dari warga UMP yang menyertai program ini dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
“Selaku penganjur, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama pihak anggota polis dan marshall yang bekerjasama dalam menjayakan program ini.
 
“Kayuhan Santai UMP ini berkonsepkan kayuhan secara santai sambil mengibarkan jalur gemilang yang memberi peluang kepada pencinta sukan berbasikal menyertainya di samping memupuk sikap kerjasama antara staf,” ujar beliau. 
 
Program itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang memulakan kayuhan dari Dewan Serbaguna UMP Pekan kira-kira 8.00 pagi. 

Antara laluan yang terlibat iaitu Jalan Tanjung Selangor, Tanah Putih, Taman Peramu Jaya dan Taman Perdana.
 
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie berkata, seiring dengan tagline UMP iaitu ‘Bergerak Bersama’ menjadikan semangat yang padu ditunjukkan peserta dengan sangat baik kerana penyertaan hasil gabungan dari pelbagai latar belakang peserta. 

“Mereka terdiri daripada peserta profesional dan ada juga yang baharu berkecimpung dalam dunia sukan berbasikal ini.

“Justeru, kita dapat lihat peserta akan sentiasa bergerak bersama dan memastikan tiada yang ketinggalan, katanya.

Beliau turut berharap agar semangat ini dapat diteruskan demi pembangunan UMP.

Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam Dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris