Skip to main content
Sukarelawan UMP siap bersedia untuk Kejohanan SUKUM 18

Sukarelawan UMP bersiap sedia untuk Kejohanan SUKUM 18

Kuantan, 6 Julai - Seramai 180  sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Persediaan & Pemantapan Sukarelawan SUKUM 2018 (Bootcamp) menjelang Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) yang bakal menyaksikan lebih 2000 atlit dan pegawai sukan berkampung di universiti ini.

Menurut  Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan  UMP, Abd Rahman Hj. Safie, pada tahun ini UMP merupakan  tuan rumah dalam penganjuran Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2018 bakal bermula 10 hingga 18 Ogos depan.

“Program ini merupakan persediaan  dan pemantapan sukarelawan SUKUM dari segi pengurusan penginapan atlit, teknikal dan pertandingan,logistik dan lain-lain lagi. Selain itu dapat memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar UMP dalam memastikan semua acara diurus dengan baik,” katanya.  

Justeru, bagi memastikan kejohanan SUKUM berjalan lancar memerlukan  kumpulan sukarelawan yang mantap dan semangat ukhwah yang tinggi. Beliau mengharapkan barisan sukarelawan ini akan memberikan khidmat terbaik bagi melancarkan SUKUM 2018 yang julung kalinya diadakan di UMP.

Manakala Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat merangkap Ketua Sukarelawan SUKUM 2018, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais berkata, sukarelawan ini sudahpun bersedia menggalas tanggungjawab besar sebagai duta kecil UMP untuk kejohanan itu nanti.

Peserta telah menimba pengalaman dalam perkongsian tugas sukarelawan, latihan amali dan tugasan berkumpulan mengikut jawatankuasa yang disediakan. Menurutnya, amalan ceria, berbudi bahasa, bersemangat dan bertoleransi dalam apa jua situasi yang bakal di tempuhi menjadi keutamaan buat mereka yang dipilih sebagai sukarelawan.

Sementara itu sukarelawan UMP yang merupakan pasangan kembar, Fadhil Ashraff   Ab Rahim dan Fadhli Ashraff Ab Rahim berasa amat teruja apabila berpeluang untuk menyertai sukarelawan SUKUM 2018. Bagi Fadhil, 24, walaupun tugasan tersebut di kala cuti semester namun peluang ini lebih berharga untuk diri mereka. Apa yang lebih menyeronokkan, mereka berdua yang amat meminati sukan memanah pastinya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri acara memanah semasa kejohanan nanti.

Turut hadir dalam program, Pegawai Belia dan Sukan Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Ekmal Bukhari dan Pegawai Kokurikulum Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ku Hadzril Jeefry Ku Hamzah. 

Kejohanan kali ini bakal mempertaruhkan lebih 300 pingat dengan 17 acara sukan yang dipertandingkan antaranya bola sepak, bola jaring, tenis, olahraga, basikal, badminton dan lain-lain lagi.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS