Skip to main content
UMP rangkul dua pingat emas sulung dalam Memancing

UMP rangkul dua pingat emas sulung dalam Memancing

Pekan, 12 Ogos- Hari kedua Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) ke-43 menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) raih dua pingat emas iaitu bagi katagori Individu dan pingat emas bagi kategori berkumpulan dalam Pertandingan Memancing sempena Kejohanan SUKUM yang berlangsung di Tasik UMP Pekan.

Pingat emas milik UMP bagi kategori individu dimenangi oleh Hairilamri Ibrahim yang berjaya membawa naik seekor ikan keli seberat 2.13 kilogram. Manakala pingat perak dimenangi Mohd Rozam Abdul Wahab dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pingat gangsa diraih oleh Zaafar Zakaria dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan ikan keli seberat 0.95 kg.

Bagi kategori berkumpulan pula, pingat emas telah dimenangi pasukan UMP yang terdiri daripada Tuan Mohd Haffiz Tuan Ahmad, Saiful Kamaluddin Mazakir @Lokman, Azahar Mohd Yasin, Hairilamri Ibrahim, Nashrul Izwadey Abdul Rahman dan Mohd Nazri Jaafar dengan jumlah terkumpul seberat 14.91 kg.

Bagi pingat perak pula dimenangi pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan jumlah 12.1kg dan pingat gangsa dimenangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan berat 11.05 kg. 

Menurut Hairilamri, strategi mengenalpasti umpan bagi jenis-jenis ikan amat membantu pasukannya. “Kami berbangga apabila dapat menyumbang pingat  sulung buat UMP dengan meraih 2 emas hari ini,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat merangkap Ketua Sukarelawan SUKUM 2018, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais bertempat di Tasik UMP Pekan.

Pertandingan memancing merupakan acara sukan yang julung kali dianjurkan dalam Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) ini disertai hampir 60 orang peserta dari 11 universiti yang menyertai pertandingan Memancing Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) ke-43. Antara universiti yang menyertai pertandingan ini iaitu Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia(UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).