Skip to main content
Shahira Buktikan Mampu Berjaya Cemerlang

Shahira Buktikan Mampu Berjaya Cemerlang

Kuantan, 10 November – Anak kelahiran Bentong Pahang,  Shahira Amira Ahmad Fadzi,25 membuktikan bidang kemahiran juga mampu melanjutkan pengajian di universiti dan memperoleh bidang yang diminati. Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) dengan kepujian  sebelum ini telah mengikuti Kursus Pengurusan Teknologi Pejabat dari Sekolah Vokasional Temerloh dan dengan niat untuk mengubah kehidupan keluarga, beliau tekad untuk belajar bersungguh-sungguh.  Kini beliau berbangga apabila dipilih menerima hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-13.

Menjadikan ibu bapa, Ahmad Fadzil Idris, 51 dan Seri Suriati Aziz, 47 sebagai sumber inspirasi dan pemangkin semangat selama 6 tahun berada di UMP. Mereka selalu mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buatnya untuk sentiasa berusaha dan tidak berputus asa. Selain itu, pensyarah dan kawan-kawan juga turut membantu sepanjang proses pembelajaran di Universiti ini.

 “Harapan saya cukup besar sejak pertama kali menjejakkan kaki di UMP ini untuk melihat ibu dan bapa saya gembira dengan kejayaan yang diperolehi. Saya sangat berharap supaya saya dapat mengubah kehidupan keluarga saya serta memberi semangat kepada adik-adik untuk terus belajar,” kata anak sulung kepada empat beradik ini.

Pernah menyertai pertandingan Creative Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) yang dianjurkan oleh UMP dengan mereka cipta projek berasaskan peranti bersaiz mini. CITREX merupakan pertandingan penyelidikan universiti yang menghimpunkan produk-produk yang dihasilkan pelajar UMP sendiri dan projek tersebut dinilai oleh industri luar.

Ujarnya, UMP adalah platform yang baik kepada pelajar yang meminati bidang kemahiran dan teknikal. Selain mempunyai peralatan teknologi yang lengkap pelajar juga diterapkan dengan pembelajaran soft skills kepada pelajar yang mana ianya sangat membantu apabila memasuki alam pekerjaan.

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Zulkapri dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri