Skip to main content

Jom Masuk U peluang pelajar pilih IPT untuk haluan kerjaya

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2023 - Penganjuran program ‘Jom Masuk U’ (JMU) yang diadakan di enam lokasi mengikut zon merupakan sebagai pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi. 

Program JMU menyasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi.
 
Enam lokasi tersebut adalah di Zon Selatan - Stadium Tertutup Arena Larkin (20 dan 21 Mei 2023), Zon Sarawak - Times Square Megamall (20 dan 21 Mei 2023), Zon Sabah – Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 (27 dan 28 Mei 2023), Zon Utara – Dwwab Perdana UiTM Cawangan Kedah (27 dan 28 Mei 2023), Zon Timur (Dewan Sultan Mizan UMP (3 dan 4 Jun 2023) dan Zon Tengah – Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (4 dan 5 Jun 2023).
 
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke program ini memandangkan ia adalah saluran utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara.

“Karnival ini turut menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2023, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), dan institusi lain. 
 
“Pelajar juga boleh berjumpa terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian, dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan,” katanya ketika berucap di JMU Zon Selatan di Stadium Tertutup Arena Larkin.
 
Turut hadir di Majlis Pelancaran ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wakil Rasmi Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Shamsul Sahibuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 
 
Penganjuran ‘Jom Masuk IPT’ itu memberi peluang para pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.
 
Selain itu, ujar beliau, sebagai persediaan awal dan berfokus kepada pelajar yang cenderung dalam bidang TVET untuk menyambung pengajuan di universiti MTUN, terdapat juga program baharu yang akan diperkenalkan di Politeknik kepada pelajar lepasan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf iaitu Program Asasi TVET Ambilan Sesi 1 2023/2024.  
 
“Sebagai permulaan, lima buah politeknik akan menjadi perintis bagi pengambilan pertama pada Sesi I 2023/2024 dengan 500 orang pelajar sebagai kumpulan pertama melibatkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Ungku Omar,” katanya.
 
Sementara itu, menurut Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, program ini memberi peluang pihaknya menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara termasuklah penawaran pengajian prasiswazah, pascasiswazah, pengajian sepanjang hayat dan program dalam talian (MOOC).
 
“UMP sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), turut memberi peluang ibu bapa dan pelajar mengetahui tentang pengajian program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan UMP serta bidang berkaitan Program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dalam pasaran menjelang era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya.
 
Selain itu, UMP juga menawarkan pengajian ijazah dual program kerjasama dengan Beijing Jiatong University (BJTU) China membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.
 
Bakal pelajar boleh mengambil peluang memohon program kerjasama UMP Dengan Karisruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dengan kepujian dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik(Elektronik) dengan kepujian. 
 
Manakala program kerjasama UMP dengan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian. Program kerjasama UMP dengan Tianjin University (TJU), China bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dan program kerjasama UMP dengan Kazakh National Agrarian Research University (KAZNARU), Kazakhstan bagi Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Bioteknologi dengan Industri. 

Jom Masuk U peluang pelajar pilih IPT untuk haluan kerjaya

 
UMP juga turut menawarkan Program Asasi TVET ini diwujudkan untuk memperluas akses pelajar lepasan SPM yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda khususnya dalam Ijazah Teknologi Kejuruteraan. 
 
Terdapat 64 reruai dalam kalangan pempamer daripada Universiti Awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain  menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2023, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan, semakan kelayakan dan penasihatan akademik. 

Sila layari admission.ump.edu.my untuk maklumat lanjut tentang pengajian di UMP.
 
 
 Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan  Canseleri
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit