Skip to main content

Kolaborasi strategik akademik UMP pergiat inisiatif pengantarabangsaan

ARAU SAUDI, 14 Mei 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) pergiat program kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa di Jeddah, Arab Saudi yang terjalin sejak tahun 2008 dengan matlamat untuk memastikan kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa berterusan.
 
Pertemuan delegasi UMP yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ts. Mohd. Rosli Hainin bersama pihak  King Abdulaziz University (KAU), Jeddah, Arab Saudi yang diwakili Pengarah Pusat Kurikulum yang juga Konsultan kepada Timbalan Presiden Hal Ehwal Pendidikan, Dr. Marwan Mahmoud membincangkan potensi kerjasama pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, geran antarabangsa dan geran padanan serta latihan staf teknikal.
 
Menurut Profesor Dr. Ts. Mohd. Rosli, pertemuan ini bakal memanfaatkan peluang buat pelajar lepasan diploma, sarjana muda dan sarjana UMP untuk melanjutkan pengajian di KAU dengan tajaan penuh serta meneroka potensi kerjasama bagi pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, geran antarabangsa dan geran padanan serta latihan staf teknikal.
 
“Pada sesi kolaborasi strategik ini juga membincangkan cadangan bagi menghantar pensyarah wanita bagi menjalankan program sangkutan di Fakulti Kejuruteraan KAU. 

“Turut dibincangkan program mobiliti pelajar, program penyelidikan dan penerbitan bersama,” katanya.
 
Turut sama Penolong Timbalan Presiden Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Saintifik KAU, Dr. Muhyaddin Rawa dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pembiayaan, Dr. Mohaned Abed. 

Hadir sama Pengarah Pusat Hubungan Amtarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd. Azmir Mohd. Azhari dan Pengurus Kanan, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Hazmin Aris.
 
Dalam pada masa yang sama, delegasi berpeluang mengadakan pertemuan dengan Syarikat Babaker Trading & Contracting yang telah mewakafkan sebahagian keuntungan syarikat tersebut bagi menaja pelajar warganegara Yaman untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti di Arab Saudi, Sudan dan Malaysia yang mengkhususkan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan.
 
Perbincangan itu memberikan tumpuan berkenaan penambahbaikan program penajaan pelajar yang ditaja oleh syarikat Babaker Trading & Contracting  untuk melanjutkan program pengajian tinggi di UMP.

Disediakan oleh: Hazmin Aris, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa 

Reports by:
Admin UMP News