Skip to main content
UMP tawar Program Asasi Sains dan Teknologi

UMP tawar Program Asasi Sains dan Teknologi

PEKAN, 25 Mac 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menawarkan program Asasi Sains dan Teknologi yang bakal memberi peluang kepada pelajar yang berminat mengikuti pengajian dalam program premier seperti program dual ijazah UMP-Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dan program dual ijazah UMP-China.

Program ini menawarkan kepada pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) satu lagi laluan memasuki universiti dan apa yang menguntungkan adalah mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian dalam program perdana yang dijalankan di fakulti ataupun program premier.

Para pelajar tingkatan lima yang menamatkan pendidikan menengah mereka dengan memperoleh SPM biasanya mempunyai pilihan menyiapkan diri untuk kemasukan ke universiti dengan terus mengikuti program matrikulasi setahun atau belajar di peringkat sekolah menengah atas selama dua tahun bagi mendapatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menurut Dekan Pusat Diploma dan Asasi UMP, Profesor Madya Dr. Roslinazairimah Zakaria, program ini dijalankan selama setahun (mengandungi tiga semester iaitu 12 minggu setiap semester dengan minimum 50 jam kredit).

“Pelajar akan diajar kursus seperti Matematik, Kimia, Fizik di samping kursus bahasa (Inggeris dan Jerman/Mandarin) dan Asas Pengaturcaraan serta Pengenalan Sains Data.

“Dengan memasuki UMP selepas tingkatan lima, kami berharap mereka boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti dan persekitarannya, kekal serta mencapai kejayaan cemerlang dalam usaha mendapatkan ijazah pertama mereka dalam bidang Sains dan Teknologi.

“Pelajar juga tidak perlu melalui proses pemilihan UPU untuk melanjutkan pengajian ijazah di UMP selepas berjaya mengikuti program asasi mereka,” kata beliau sewaktu bertemu dengan 17 pelajar yang mula kembali ke kampus bagi mengikuti pengajian secara bersemuka setelah belajar secara dalam talian pada semester 1 dan 2 lanjutan daripada penularan Covid-19.

Bagi yang berminat memohon kemasukan terus ke Program Diploma/Asasi Sains dan Teknologi Ambilan Julai 2022, UMP boleh mendapatkan maklumat dengan melayari http://www.umpadvanced.ump.edu.my.
 
Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit