Skip to main content

PM Ir. Dr. Mohd Hafizi, Athirah dinobatkan pemenang Anugerah Terbaik CITREX 21

PEKAN, 7 April 2021 – Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Hafizi Zohari meraih pingat emas dan dua anugerah khas iaitu Anugerah Kreativiti dan Inovasi FTKMA (Tempat Pertama) dan Special Award Best of the Best (Staff Category) dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi CITREx 2021 anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Turut sama menerima anugerah terbaik ialah pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Atirah Fatini Zin Azmi yang meraih pingat emas dan anugerah terbaik Special Award Best of the Best (Student Category)  menerusi projek penyelidikan yang bertajuk Pineapple Enzyme: Beneficial Poultry Supplement.
 
Anugerah Khas Outstanding Presentation Award Primary School pula dinobatkan buat Sekolah Kebangsaan Baroh Pial, Kelantan dengan projek penyelidikan mereka yang bertajuk Smart Pipe.

Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan pula telah berjaya merangkul Anugerah Khas Outstanding Presentation Award Secondary School menerusi projek penyelidikan IoT Smart Home Automation Trainer System for RBT Teachers.
 
Pada tahun ini, sebanyak 109 pingat emas, 118 pingat perak dan 39 pingat gangsa telah dianugerahkan kepada peserta CITREx 2021. 
Manakala sebanyak 22 anugerah khas yang disumbangkan oleh fakulti, kolej, pusat, pusat kecemerlangan dan pusat tanggungjawab UMP telah dipertandingkan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri. Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur JPI dan semua penyelidik yang menyertai pertandingan ini. 

“Kejayaan program ini membuktikan kesungguhan UMP dalam memaknakan kewujudannya sebagai sebuah universiti awam yang mengambil serius dalam melahirkan penyelidik yang hebat selaras dengan slogan (tagline) UMP: Teknologi untuk Masyarakat.
 
“Para penyelidik perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendepani cabaran norma baharu bagi meningkatkan momentum dalam bidang penyelidikan. 

“Usaha membudayakan norma baharu dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan tugas dan tanggungjawab semua bagi memutuskan rangkaian wabak Covid-19 selaras dengan seruan kerajaan menerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu,” ujarnya. 
 
Tambah beliau lagi, bidang penyelidikan turut tidak terkecuali dalam menghadapi tempias penularan wabak ini.

“Seperti yang kita ketahui, kepakaran bidang penyelidikan amat perlu dan mampu meningkatkan taraf kehidupan sesebuah negara di samping dapat membantu mengurangkan bebanan kehidupan masyarakat,” katanya semasa merasmikan CITREx 2021 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli pula berkata, seramai 275 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga ke Universiti Awam (UA) telah menyertai CITREx 2021 edisi ke-11 ini .
“Kaedah penilaian adalah berdasarkan poster dan video produk yang dihasilkan oleh penyelidik. 
“Pastinya pertandingan ini mencabar kreativiti para peserta untuk memastikan semua kriteria penilaian produk penyelidikan dimasukkan ke dalam video yang dihasilkan bagi tujuan penilaian juri yang telah dilantik dalam kalangan ahli akademik dan industri berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing.
“CITREx 2021 melakar sejarah apabila penjurian produk penyelidikan telah diadakan secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi i-CITREx iaitu sistem penjurian secara dalam talian yang telah dibangunkan oleh pensyarah Fakulti Komputeran (FK), UMP iaitu Ts. Aziman Abdullah yang nyata membuktikan kehebatan penyelidik UMP dalam penghasilan inovasi yang dapat digunakan dalam situasi semasa,” katanya.
Bersempena CITREx 2021, beberapa program tambahan turut dianjurkan bagi tujuan menyokong inisiatif penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan UMP antaranya Bual Bicara Bersama Dekan-dekan Penyelidikan Jabatan Penyelidikan & Inovasi: Hala Tuju Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan UMP dan Pitching Competition 2021: Project Pitch Perfect anjuran UMP Technology Sdn. Bhd.
CITREx 2021 ini buat julung kalinya telah diadakan secara maya bagi tujuan mempraktikkan norma baharu dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19. 
Antara yang mengambil bahagian ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Manakala bagi kategori sekolah rendah dan menengah pula, peserta terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Sekolah Kebangsaan Gambang, Sekolah Kebangsaan Bandar Batu Pahat, Johor, Sekolah Kebangsaan Baroh Pial, Kelantan, Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib Kuantan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak Pekan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom Kuantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rasau Kerteh B5 Kemaman, Terengganu.
Disediakan Oleh: Dina Diyana Rastam Tan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dan Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korpora, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri