Skip to main content

Produk teknologi UMP menang Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2020 (MCY 2020)

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2020 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mencatatkan kecemerlangan dalam bidang pengkomersialan dengan dua produk dibangunkan UMP memenangi Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (Malaysia Commercialisation Year 2020 – MCY 2020).

Ia diumum bersempena berlangsungnya Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan (MCY Summit 2020) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dijalankan secara dalam talian hari ini. 

Majlis Pelancaran MCY Summit 2020 dan Majlis Penyampaian Anugerah MCY 2020 dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Yang Berhormat Khairy Jamaluddin. 

Produk yang dihasilkan oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Dr. Ts. Mohd. Zamri Ibrahim iaitu ‘Vein Display Instrument’ meraih Anugerah Utama bagi kategori Inovator Baharu. 

Produk peranti ‘Vein Display Instrument’ ini merupakan suatu inovasi baharu bagi membantu dalam rawatan yang dapat dimanfaatkan pengamal perubatan dan pesakit. 

Lebih menarik peranti elektronik yang berukuran telapak tangan ini terdiri daripada kamera khas dan skrin yang memaparkan lokasi vena tanpa menyentuh kulit manusia. 

Jelas beliau, peranti ini terhasil daripada permintaan industri perubatan di negara ini yang dapat membantu doktor atau pegawai perubatan untuk mencari lokasi pembuluh darah atau vena manusia.

“Pada masa ini, terdapat lebih 90 peratus pesakit di hospital memerlukan prosedur untuk rawatan terapi IV (intravena) dan lebih daripada satu billion prosedur setiap tahun dilakukan untuk mendapatkan sampel darah untuk ujian kesihatan,” katanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada universiti yang banyak menyokong dalam usaha membangunkan teknologi ini.

“Begitu juga atas sokongan geran pihak Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) dan Technology Park Malaysia (TPM) sebagai menyokong idea perniagaan saya melalui syarikat permulaan Venigo Sdn. Bhd,” katanya. 

UMP turut meraih anugerah sagu hati bagi kategori Usahawan Penyelidik hasil produk  ‘Sleek Pump’ yang dihasilkan Dr. Mohamad Firdaus Basrawi daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA). 

Dikomersialkan menerusi UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT), penghasilan alat penyedut madu menggunakan bateri ini lebih mudah dibawa dan mampu meningkatkan efisiensi proses menyedut madu kelulut untuk mendapatkan madu dengan tidak menjejaskan kualiti madu tersebut. 

Penyelidikan oleh Dr. Mohamad Dr. Firdaus Basrawi ini turut mendapat sokongan beberapa geran penyelidikan universiti termasuklah geran MyRA Incentive Fund (University-Community Technology Solutions Platform Fund)

Kemenangan pada tahun ini merupakan indikator penting konsistensi kecemerlangan ekosistem pengkomersialan UMP yang mana pada MYC 2019 turut menghasilkan dua pemenang dalam penganugerahan ini. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit