Skip to main content

50 sukarelawan pelajar timba pengalaman urus krisis

Kuantan,14 Mei 2020 - Pengorbanan seramai 50 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai sukarelawan dalam membantu pengurusan universiti bagi mengendalikan kebajikan, keselamatan pelajar dan urusan penghantaran pelajar pulang ke kampung halaman setelah  lebih 40 hari tinggal di kampus ekoran pelaksanaan  Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) pasti akan dikenang sepanjang hayat mereka.

Mohd Fitri Zulkaffli yang merupakan pelajar Fakulti Komputeran merangkap Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2019/2020 berkata, berita gembira bagi pelajar pulang ke kampung halaman yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan suntikan semangat kepada seluruh pelajar bukan sahaja di UMP malah di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyambut Ramadan dan berhari raya bersama keluarga.

“Justeru, bagi melancarkan proses tersebut, barisan MPP turut mengambil peranan sebagai sukarelawan untuk membantu pihak universiti menguruskan perkara tersebut dengan lebih mudah dan teratur.

“Pengalaman menjadi sukarelawan ini amat berharga bagi diri saya, banyak perkara menarik yang saya pelajari ketika menguruskan sesuatu bencana dan krisis yang berlaku. 

“Saya juga tidak menyangka diberi kepercayaan untuk terlibat sama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Bencana UMP dalam menangani masalah ini,” katanya.

Ujarnya lagi, peranan sukarelawan adalah untuk melengkapkan data pelajar yang berada di dalam dan luar kampus serta berperanan sebagai medium penyebar maklumat berkaitan jadual pergerakan pelajar. 

Selain itu, pihaknya juha turut membantu petugas dalam penyediaan dokumen rentas negeri dan mengedarkan pek makanan sebelum pelajar bergerak pulang ke destinasi masing-masing.

Berkongsi pengalamannya dalam menguruskan proses penghantaran pelajar, paling mencabar adalah untuk memastikan pelajar tenang dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pada awalnya, akibat pelajar yang agak teruja untuk pulang tetapi kekangan terutamanya dari segi kebenaran pulang di peringkat awal yang hanya membenarkan pelajar pulang ke zon hijau menyebabkan terdapat segelintir pelajar berasa tertekan kerana kampung mereka berada di zon merah.

“Pada masa inilah, kami berperanan dalam memastikan maklumat tepat dan terkini sebelum disampaikan kepada pelajar terutamanya membabitkan memastikan hanya destinasi selamat serta mengutamakan keselamatan pelajar sebelum mengambil tindakan menghantar pelajar pulang,” katanya. 

Beliau kini yang turut berada di kampung halamannya di Perak berpuas hati dan bersyukur apabila misi penghantaran pelajar telah selesai dan gembira apabila melihat perkongsian cerita rakan-rakan yang kini telah berada di rumah masing-masing.

“Saya berharap mereka yang telah berada di kampung halaman dapat memanfaatkan ruang dan peluang ini untuk merasai kemanisan berpuasa bersama keluarga serta mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh kerajaan,” ujarnya. 

Pihaknya mengucapkan penghargaan dan  terima kasih buat pengurusan universiti, terutamanya barisan hadapan petugas dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta yang telah bertungkus-lumus merealisasikan misi operasi penghantaran pelajar.  

Manakala rakannya, Nur Shazwanie Zainurin yang merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses merangkap Exco Perkhidmatan Mahasiswa Luar Kampus Gambang berkongsi pengalaman apabila terlibat dalam membantu pengurusan penghantaran balik pelajar ke kampung halaman sejak fasa pertama pada 30 April 2020 yang lalu.

“Pengalaman ini tidak mungkin dapat dilupakan kerana berpeluang menimba pengalaman mengurus satu pergerakan yang agak besar kerana UMP juga mengetuai operasi pergerakan peljar dari Zon Timur , maka kami turut menguruskan pelajar daripada universiti lain termasuk hubungan dua hala dengan universiti lain dalam memastikan data dikemaskini dan proses penghantaran pelajar berjalan lancer.

“Untuk menjadi sukarelawan bukan sahaja perlukan kekuatan fizikal dan mental malah kekuatan emosi juga amat diperlukan. 

“Masih segar diingatan saya apabila terdapat suatu ketika mereka berdepan situasi berdepan dengan rungutan dan soalan bertubi-tubi pelajar mengenai pergerakan mereka. 

“Namun sebagai sukarelawan, kami dilatih agar menanganinya dengan sabar dan berhemah. Apatah lagi pada masa itu terdapat segelintir pelajar mengalami gangguan emosi yang tidak stabil akibat  merindui keluarga sehingga ada yang bertindak kurang rasional,” katanya.

Namun, ia bukan halangan buatnya untuk membantu petugas UMP dan barisan hadapan dalam membantu kebajikan dan keselamatan pelajar sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Kini keadaan di dalam kampus semakin sepi apabila telah ramai pelajar telah pulang ke kampung. 

Beliau juga akan pulang ke rumah ibu bapanya di Pekan setelah semua proses penghantaran selesai nanti dan berharap pelajar dapat menjaga kesihatan di kampung halaman dan mendoakan  agar wabak pandemik COVID-19 ini segera berakhir.

Disediakan Oleh : Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris