MPP UMPSA memperkasa wanita melalui Program Women Empowerment 2026
GAMBANG, 9 Jun 2026 – Program Women Empowerment 2026 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana yang penuh inspirasi, bermanfaat dan memberi impak positif kepada para peserta.
Program ini dianjurkan sebagai platform untuk memperkasakan wanita melalui perkongsian ilmu, pembangunan keyakinan diri serta pemupukan nilai-nilai kepimpinan dan kesejahteraan diri.
Majlis telah disempurnakan oleh Datin Indera Dr. Sharifah Nur 'Insyirah, manakala program ini dipimpin oleh Pengarah Program, Nur Faryha Agyus Elbashir.
Turut hadir memeriahkan program ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, dan Pengarah Akademi Adab, Chm. Dr. Siti Umairah Mokhtar yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha memperkasakan mahasiswa, khususnya golongan wanita.

Program ini turut menampilkan Nur Syafinaz Utagha sebagai jurusolek jemputan yang telah mengendalikan sesi demonstrasi solekan.
Perkongsian yang diberikan bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik solekan yang betul, malah turut meningkatkan keyakinan diri serta penampilan profesional dalam kalangan peserta.
Selain itu, pertandingan Makeup Battle yang melibatkan seramai 94 peserta telah berjaya menarik perhatian dan penyertaan yang memberangsangkan.
Kreativiti, kemahiran serta bakat para peserta telah dipamerkan melalui pertandingan ini, sekali gus mewujudkan suasana yang kompetitif dan menyeronokkan.
Program ini turut diserikan dengan slot perkongsian bertajuk ‘Perempuan Limited Edition’ yang berjaya menghimpunkan seramai 150 peserta.
Slot ini membincangkan pelbagai aspek berkaitan pembangunan diri wanita, pengurusan emosi, keyakinan diri serta potensi wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan.
Kejayaan penganjuran program ini turut disokong melalui kerjasama strategik bersama YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Maaez dan Bank Islam yang telah memberikan sumbangan serta komitmen dalam menjayakan agenda pemerkasaan wanita.
Menurut Nur Faryha, sebagai tanda penghargaan kepada peserta, pihak penganjur turut mengagihkan Women Kit yang mengandungi pelbagai keperluan harian seperti pad, deodoran, body butter, makeup remover, plaster dan 3-in-1 laser pointer.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan penganjur terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan peserta.
“Adalah menjadi harapan agar Program Women Empowerment dapat terus menjadi platform yang memberi inspirasi kepada wanita untuk mengenali potensi diri, membina keyakinan serta mengembangkan bakat dan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan wanita yang berilmu, berdaya saing, berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
- 41 views
Reports by: