Skip to main content
UMP laksana ibadah korban dan akikah, 7 ekor lembu disembelih

UMP laksana ibadah korban dan akikah, 7 ekor lembu disembelih

PAYA BESAR, 15 Julai 2022   –  Seperti kelaziman saban tahun dalam kemeriahan menyambut sambutan Hari Raya Aidiladha, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut menganjurkan Program Ibadah Korban dan Akikah 1443H  di Masjid UMP kampus Gambang.

Menurut Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas, pihaknya bersyukur kerana dapat melaksanakan Program Korban dan Akikah pada tahun ini. 

“Terima kasih kepada seramai 35 staf yang memberi kepercayaan dan bersama-sama menjayakan program dan menyertai aktiviti penyembelihan serta mengagihkan daging-daging korban.

“Penyertaan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu. 

“Pada tahun ini, sebanyak tujuh ekor lembu dan seekor kambing akikah disembelih,” ujarnya. 

Katanya, daripada jumlah tersebut kita dapat kumpulkan 49 bahagian untuk korban dan harga setiap bahagian adalah RM 700.00 sahaja.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi itu turut dibantu oleh 50 sukarelawan UMP yang terdiri daripada pengurusan universiti, staf dan pelajar. 

UMP laksana ibadah korban dan akikah, 7 ekor lembu disembelih

Sebanyak 250 bungkus daging korban ini diagihkan kepada petugas pembersihan, pelajar dan staf yang memerlukan.

Tambahnya lagi, program ibadah korban sebegini dapat memberi peluang kepada warga UMP untuk membantu mereka yang memerlukan di sekitar UMP dan diharapkan sambutan sumbangan ibadah ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

Bagi seorang penerima daging korban, Zuraina Ahmad, 46 yang bertugas dengan syarikat pembersihan di UMP mengucapkan syukur dan terima kasih kepada UMP yang sentiasa cakna kepada golongan yang memerlukan.

“Saya akui kewujudan UMP banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat. 

“UMP bukan sahaja memberi peluang untuk kami mencari rezeki, tetapi warga  universiti sering berkongsi rezeki dalam bentuk pelbagai bentuk sumbangan,” katanya. 

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris