Skip to main content

Indahnya Ramadan UMP dan Etiqa salur sumbangan

Kuantan, 25 Mei- Sebanyak RM130,000 disumbangkan pihak Etiqa bagi bantuan zakat mahasiswa Universiti Malaysia Pahang ( UMP)  termasuk program komuniti seperti Bantuan Asnaf dan ‘Program Back to School’ pada penghujung tahun ini.

Serahan sumbangan disampaikan Pengerusi Etiqa Family Takaful Berhad  & Etiqa General Takaful Berhad, Dato' Majid Mohamad
merangkap Ahli Lembaga Pengarah Univerisiti kepada Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr  Wan Azhar Wan Yusoff dalam Majlis Program Indahnya Ramadan bersama Etiqa baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato Sri Ibrahim Ahmad di perkarangan Masjid UMP Gambang. 

Turut berlangsung pengagihan zakat kepada 30 orang mahasiswa UMP untuk menampung perbelanjaan dalam pengajian serta sumbangan keperluan harian yang disampaikan kepada 20 keluarga asnaf sekitar Kuantan.  

Menurut Profesor Dr Wan Azhar,  pihaknya yakin lebih ramai lagi mahasiswa UMP dan asnaf boleh dibantu sekiranya universiti mempunyai keupayaan kewangan yang lebih. Justeru UMP mengharapkan lebih banyak lagi penyumbang dalam kalangan syarikat swasta untuk tampil ke hadapan bersama Universiti ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Etiqa atas sumbangan yang disalurkan ini. Juga ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengarah atas sokongan berterusan yang diberikan kepada pihak pengurusan untuk mengimarahkan ekosistem infaq dan endowmen di Universiti ini,” katanya.

Dengan komitmen tersebut, beliau percaya UMP dan Etiqa akan terus dapat bersinergi 
bagi maksud pemberdayaan komuniti pembangunan ummah melalui aktiviti amal dari semasa ke semasa.

Malahan sumbangan daripada Etiqa ini bukanlah kali pertama, sejak bermula tahun 2011 lagi sumbangan terkumpul sehingga 2018 mencapai sebanyak RM530,000.

Kewujudan UMP sebagai universiti awam yang tidak hanya berkewajipan dalam memastikan kebajikan warga kerja dan mahasiswa malahan turut cakna terhadap masyarakat sekeliling kampus. 

Majlis dihadiri seramai 1000 mahasiswa yang berpeluang iftar bersama pengurusan universiti.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri