Skip to main content

Pelajar sekolah teruja berbuka puasa dengan mahasiswa UMP dalam kampus

Pekan, 14 Mei – Teruja untuk berbuka puasa bersama mahasiswa universiti, seramai 41 orang pelajar tahun 6 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Serandu Pekan bersama fasilitator MyCilik Serandu dan mahasiswa UMP Pekan menyertai program berbuka puasa bertempat di Masjid UMP Pekan baru-baru ini.

Program Cahaya Ramadan MyCilik Serandu anjuran MyGift UMP ini merupakan aktiviti sebagai menyokong inisiatif MyGift yang dilaksanakan di universiti ini. Program ini merupakan satu inisiatif bagi memberi sokongan dan membantu persiapan pelajar untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Program Cahaya Ramadan MyCilik Serandu memberi peluang pelajar sekolah menimba pengalaman dengan berbuka puasa bersama mahasiswa UMP secara beramai - ramai di Masjid UMP melalui tradisi iftar menggunakan talam.

Pengurus Projek, Muhd Hariz Asyraf Marzuki berkata program seperti ini amatlah berfaedah kerana di samping menjalani persediaan untuk menduduki peperiksaan, mereka  dapat meluangkan masa bersama dengan abang dan kakak fasilitator MyCilik Serandu di bulan Ramadhan kali ini.

“Iftar yang disediakan dalam talam ini menjadi tradisi di universiti yang secara tidak langsung dapat merapatkan ukhwah. Selain itu juga, melalui kaedah makan bertalam ini senyuman yang terukir di wajah mereka ini ketika menjamu selera bertalam buat pertama kali,” katanya.

Bagi pelajar sekolah, Muhammad Yaakob Jailani, beliau sangat gembira kerana berpeluang menyaksikan keindahan kampus UMP serta berbuka puasa bersama dengan abang dan kakak fasilitator. Selain itu, beliau juga menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki sebagai mahasiswa di menara gading suatu hari nanti. 

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Binti Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri