Skip to main content

Pelajar SK Tasik Chini terima manfaat empower ECER-MyKasih

Tasik Chini - Seramai 118 pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Tasik Cini menerima manfaat dalam program empower ECER-MyKasih hasil kerjasama Majlis Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Yayasan MyKasih dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam meningkatkan prestasi akademik melalui penyediaan kelas tuisyen motivasi secara percuma dan kemudahan yang menyokong persekitaran pembelajaran.

Pelancaran program disempurnakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, YB Dato Sri Abu Bakar Haji Harun dengan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyKasih, Datuk Yaacob Md. Amin. Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohammad Rozi Hassan, Guru Besar SK Chini, Mohamad Halim Mawi dan Tok Batin Kg. Gumum, Awang Alok.

Pihak ECERDC dan Yayasan MyKasih telah melengkapkan bilik-bilik darjah sekolah dengan peralatan pembelajaran digital dan teknologi dalam mengubah pengalaman pembelajaran dengan lebih seronok dan interaktif. Dalam pada itu pelajar diberi elaun bulanan sebanyak RM60 melalui kad pintar MyKasih “Love My School’ untuk membolehkan mereka membeli makanan dari kantin sekolah serta bahan pembelajaran di kedai buku. Malahan, bantuan turut dipanjangkan kepada ibu bapa mereka memandangkan sebilangan besar pelajar berasal dari keluarga berpendapatan rendah.

Menurut Datuk Seri Jebasingam Issace John, kerjasama dengan Yayasan MyKasih ini lebih fokus dalam memenuhi keperluan pelajar dengan lebih holistik. Beliau percaya tiada pelajar daripada komuniti Orang Asli tergolong dalam komuniti berpendapatan rendah tersisih daripada menerima manfaat transformasi sosioekonomi ECER pada masa akan datang. Lebih membanggakan SK Cini diiktiraf sekolah Orang Asli Terbaik dengan penilaian Band Satu (cemerlang) di Malaysia berbanding tahun 2009 apabila tergolong sebagai salah satu sekolah berprestasi kurang cemerlang.

Sementara itu, Villa Gumum Tasik Chini yang diwujudkan di bawah inisiatif pihak sekolah bersama dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggunakan teknologi solar ini mampu membekalkan tenaga elektrik secara berterusan bagi kemudahan pelajar mengikuti kelas tambahan dan mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

Menurut Dr. Mohammad Rozi, ianya telah dibina semula pada tahun 2017 untuk membolehkan beberapa murid tahun 6 yang menaiki bot merentasi tasik untuk ke sekolah tinggal di sini menjelangnya peperiksaan. Selain itu pelajar juga dapat bermalam di villa ini untuk menghadiri kelas-kelas malam yang diadakan selama 5 hari seminggu selama 3 bulan sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah  (UPSR).

"Selaras dengan agenda memasyarakatkan teknologi dan kemudahan kepada sekolah, UMP telah menyumbangkan  tenaga solar yang dapat digunakan di villa tersebut. Kemudahan ini meliputi  satu bilik untuk murid lelaki dan satu bilik untuk pelajar perempuan. Setiap bilik dilengkapi dengan satu katil dua tingkat, almari baju, lampu dan kipas,” katanya. Beliau berharap dengan kemudahan ini dapat memberi semangat kepada anak –anak ini untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran.  

Manakala menurut salah seorang ibu pelajar, Julaian A/P Puling, 42, berkata amat berterima kasih kepada pihak ECER, UMP dan Yayasan MyKasih dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi membantu masyarakat Orang Asli. Dengan komitmen yang diberikan beliau dapat melihat lebih ramai anak-anak mereka berjaya dalam pembelajaran sehingga dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi setanding dengan masyarakat di bandar. 

Program turut dimeriahkan dengan program Streets Science bersama mahasiswa UMP dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri bagi memberi pendedahan dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Selain itu pelbagai acara termasuk cabutan bertuah, sukaneka dan senamrobik juga diadakan dengan kendalian lebih 20 sukarelawan daripada Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan UMP Advanced dalam usaha mengeratkan hubungan bersama masyarakat Kg. Gumum dan kampung sekitarnya.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi