Skip to main content

Persatuan Wanita UMP (Matahari) agih sumbangan kepada 34 ahlinya

PAYA BESAR, 22 Disember 2021 - Cakna terhadap nasib mangsa banjir, Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (Matahari) menyampaikan bantuan kepada 34 ahli persatuan yang terjejas akibat banjir di sekitar Kuantan. 

Antara sumbangan yang diserahkan termasuklah barangan keperluan harian dan juga makanan.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) merangkap Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari), Datin Dr. Mazita Mokhtar dan beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Wanita Matahari.
 
Menurut Datin Dr. Mazita, usaha ini bertujuan untuk berkongsi kesusahan dan meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah selain memudahkan mangsa yang telah kembali ke kediaman masing-masing yang terjejas akibat banjir.
 
“Sumbangan ini juga merupakan tanda keprihatinan Matahari kepada semua ahlinya yang terlibat banjir.  

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban dan emosi yang ditanggung oleh mangsa banjir.
 
“Emosi mangsa juga berada dalam keadaan sangat sedih, mungkin kehadiran kita akan dapat menceriakan mereka di samping membantu meringankan bebanan yang mereka tanggung,” ujarnya.

Persatuan Wanita UMP (Matahari) agih sumbangan kepada 34 ahlinya

Tambahnya, Persatuan Wanita UMP (Matahari) merupakan sebagai salah satu persatuan di UMP yang akan sentiasa bekerjasama dan turut serta untuk membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan terutama ahlinya.
 
Semua sumbangan telah diserahkan di rumah ahli antaranya di Taman Seri Inderapura, Perumahan Bukit Rangin, Taman Pandan, Taman Gudang Rasau dan beberapa lokasi lagi.
 
Menurut salah seorang ahlinya yang turut terjejas dalam banjir, Suzila Ali, terkejut dengan kunjungan Presiden dan beberapa ahli jawatankuasa ke rumahnya. 

Beliau amat bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan yang berupa makanan dan kit kebersihan.
 
Ujarnya, pastinya semua yang menjadi mangsa banjir akan merasa sedih dengan kehilangan harta benda namun dengan kunjungan mereka dapat memberi semangat dan dorongan kepada semua ahli. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris