Skip to main content

Program Sentuhan Kasih erat hubungan generasi baharu melalui aktiviti sosial dan kemasyarakatan

MANONG, 10 Mac 2023 - Seramai 25 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada Skuad Yayasan UMP memanfaatkan masa cuti semester mereka dengan menyertai Program Sentuhan Kasih@Manong, Perak bagi menyantuni warga tua dan merapatkan hubungan generasi dengan warga di Pusat Pengajian Pondok Ar-Ridzuan (PPPAR) serta masyarakat setempat melalui baru-baru ini.

Program itu diadakan bertujuan untuk memupuk sikap cakna, toleransi dan kemahiran komunikasi sebagai jurubicara masyarakat dalam kalangan mahasiswa melalui pembahagian keluarga angkat dan aktiviti sosial yang berbeza seperti ziarah prihatin, pemberian bubur lambuk, gotong-royong perdana, sumbangan barangan keperluan harian, luangkan masa bersama warga emas serta aktiviti sukaneka yang melibatkan ‘mak angkat’ di PPPAR.

Program Sentuhan Kasih erat hubungan generasi baharu melalui aktiviti sosial dan kemasyarakatan

Selain itu juga, program turut menunjukkan kepedulian dan keikhlasan sukarelawan UMP dalam memberikan bantuan kepada penduduk sekitar termasuk beberapa masjid berdekatan, balai polis dan stesen minyak Petronas di kawasan Manong, Perak.

Menurut Pengurus Projek, Nur Adawiyah Mohd Razin, program ini telah membawa kepada lembaran baharu dan dapat merasai kehidupan orang di sekeliling.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dalam menguruskan  sesi keluarga angkat dalam projek sukarelawan yang melibatkan warga emas di PPPAR.

“Ternyata program ini telah membantu mahasiswa UMP untuk memahami kepentingan sikap berkeyakinan tinggi dan kemahiran komunikasi dalam kalangan masyarakat luar sambil memberikan manfaat yang nyata kepada warga emas serta penduduk setempat,” katanya. 

Program Sentuhan Kasih erat hubungan generasi baharu melalui aktiviti sosial dan kemasyarakatan

Sementara itu, Penolong Eksekutif Yayasan UMP, Akmal Asyraf Mior Azalian turut menghargai komitmen sukarelawan Skuad Yayasan UMP yang sentiasa memberi sokongan dalam semua program anjuran Yayasan UMP.

“Projek Sentuhan Kasih ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan mahasiswa UMP dan juga golongan masyarakat. 

“Dengan sambutan dan sokongan yang diterima sangat menggalakkan oleh komuniti, pihaknya  akan meneruskan program ini pada masa akan dating,” katanya. 

Program bersama masyarakat di bawah Yayasan UMP ini giat dilaksanakan bagi mendekatkan mahasiswa dengan komuniti.

Disediakan oleh: Muhammad Zufli Bin Zuhari, Yayasan UMP

Reports by:
Admin UMP News