Skip to main content

Program TVET UNiTY bantu komuniti Parit Sulong

PARIT SULONG, 30 Oktober 2022 - Pelaksanaan Program TVET UNiTY@Parit Sulong berjaya membantu komuniti menerusi perkongsian kepakaran teknikal kejuruteraan, khidmat penyelidikan dan sains sosial dalam peningkatan kesejahteraan kehidupan serta sosioekonomi.
 
TVET UNiTY merupakan salah satu inisiatif di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Ia bertujuan bagi berkongsi dan memindahkan teknologi serta pengetahuan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berdasarkan bidang TVET IPT seperti awam, elektrik, automotif dan penyaman udara.

Program TVET UNiTY bantu komuniti Parit Sulong

 
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, program dilaksanakan di tiga lokaliti Parit Sulong iaitu di Parit Abdul Rahman, Parit Jayus dan Kampung Separap.
 
“Program yang  diselaraskan oleh Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu melibatkan penyertaan kumpulan sukarelawan MP Kilau yang terdiri  daripada mahasiswa  Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik (BVE) dan staf daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) serta Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).

Program TVET UNiTY bantu komuniti Parit Sulong

 
“Kumpulan sukarelawan UMP dibahagikan mengikut kawasan lokaliti dan mereka melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan pendawaian serta pembaikan kecil merangkumi masjid, balai raya dan rumah penduduk setempat.
 
“Program ini juga seiring dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan turut menggiatkan lagi aktiviti kolaborasi, perkhidmatan kepakaran serta penyelidikan dan inovasi seiring dengan aspirasi KPT untuk memasyarakatkan TVET,” ujarnya. 

Program UNiTY itu juga memberi fokus kepada bidang kepakaran atau tujahan Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial dan TVET UNITY@Parit Sulong yang menyasarkan bantuan teknikal kepada penduduk B40 dan mangsa bencana sekitar Dun Semerah, Dun Sri Medan dan Kampung Bintang, Peserai melibatkan tiga fasa bagi September 2022.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri & Masyarakat (BKIM) KPT, Dato’ Mohd Shahril  Abdullah dan Penolong Naib Canselor TVET UMP, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim.

Disediakan oleh: Noor Syahidah Sabran, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News