Skip to main content

Skuad Sukarelawan UMP sumbang khidmat bakti

PEKAN, 22 Januari 2021 – Sedih mengenangkan rumah-rumah mangsa banjir yang teruk dilanda banjir dan simpati dengan nasib mereka yang ditimpa kesusahan telah mendorong seramai 209 sukarelawan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendaftar secara sukarela untuk turut menyumbang bakti dalam misi kemanusiaan ini.

Sebaik sahaja menerima pemakluman pencarian sukarelawan daripada Jawatankuasa Bertindak Bencana (JKBB) UMP, pasangan staf Abd. Latip Haji Deris yang merupakan Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP) bersama isterinya, Jamiaah Noor Rahmad daripada Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) memilih untuk menyertai skuad sukarelawan.

Menurut Abd. Latip, apabila melihat keadaan banjir yang berlaku di Pahang menerusi media sosial dan televisyen, ia amat menyedihkan.

“Terdapat rumah tenggelam dan banyak perabot yang rosak dan tidak dapat diselamatkan.

“Begitu juga kelengkapan di sekolah yang ditenggelami air. Banyak pengalaman yang saya timba sepanjang bertugas bersama sukarelawan daripada agensi lain semasa membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pelak di Pekan yang teruk dilanda banjir,” katanya.

Begitu juga dengan Rozana Sahadan daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM ) dan Erma Yanti Zakaria daripada Pusat Bahasa Moden (PBM) yang terpanggil membantu menguruskan pengasingan pakaian lebih 500 baju dan seluar di pusat pengumpulan di Dewan Astaka UMP.

Manakala Ernie Nurazlin Lizam daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) yang menguruskan logistik dan pengangkutan berkata, pihaknya perlu sentiasa bersedia untuk mengatur pergerakan sukarelawan agar tiba tepat pada masanya di setiap lokasi mengikut jadual.

“Pertukaran jadual di saat akhir merupakan suatu cabaran namun kerjasama semua jawatankuasa banyak membantu dalam memastikan setiap misi bantuan diselaras dengan baik,” ujarnya.

Ketua Jawatankuasa Sukarelawan, Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais yang juga Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PPTI) berkata, pergerakan sukarelawan pada kali ini perlu mendapat nasihat dan kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB).

“Para sukarelawan ini terlibat dalam aktiviti pembersihan dan mengurus segala sumbangan yang diselaras bersama pihak Yayasan UMP dan anak syarikat UMP Holding Berhad. 

“Selain itu, urusan makanan dan minuman, kit perubatan, peralatan dan perkakasan pembersihan perlu disediakan dan disimpan dengan baik setelah digunakan,” katanya.

Pihaknya menghargai komitmen sukarelawan yang dapat turun padang untuk berkhidmat.

Dalam pada itu, paling utama adalah tahap kesihatan sukarelawan dan mereka dinasihatkan untuk sentiasa memastikan tahap keselamatan dan kesihatan termasuk pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghindari penularan Covid-19  sepanjang bertugas.

Sehingga kini, sebanyak 28 pergerakan membabitkan 11 lokasi menempatkan sukarelawan bertugas.

Antaranya termasuklah Kampung Lompat, Kampung Tanjung Belenggu dan Kampung Buntut Pulau di Temerloh.

Lain-lain Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh Hinai, Taman Pelangkah, Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, Kampung Semangat, SK Pelak, SK Kinchir dan SK Pulau Manis di Pekan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit