Skip to main content

Sukarelawan UMP Kilau hulur bantuan banjir Pantai Timur

PEKAN, 21 Disember 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mula menggerakkan Misi Sukarelawan Banjir Pantai Timur melibatkan seramai 20 Sukarelawan UMP Kilau bagi membantu menghulurkan bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu. 

Simpati dengan nasib yang menimpa mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur ketika ini, misi sukarelawan UMP Kilau pada kali ini membawa keperluan sumbangan beg makanan dan pakej makanan ‘Ready to Eat’ melalui teknologi retort di bawah  inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dan Yayasan UMP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi ( KPT). 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pada peringkat pertama ini sebanyak 3,500 pek makanan sedia diedar dan akan diagihkan secara berperingkat.

Sukarelawan UMP Kilau hulur bantuan banjir Pantai Timur

“Sumbangan ini bagi membantu mangsa banjir terutama pelajar IPT di kedua-dua negeri termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan IPT sekitarnya.

“Dengan bermatlamatkan ‘Zero Hunger’  kemudahan makanan teknologi retort atau penstrilan yang dihasilkan ini mampu bertahan lama tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

“Usaha ini sebagai persediaan bagi  menyediakan  makanan semasa kecemasan bagi membolehkan pelajar di sini  mendapatkan makanan yang sihat dan sedia untuk dimakan,” katanya.

Sukarelawan UMP Kilau hulur bantuan banjir Pantai Timur

Ujarnya, inisiatif ini hasil kerjasama UMP, Yayasan UMP dengan sokongan KPT bagi membolehkan pelajar yang terkesan banjir di sini mendapat makanan yang dimasak menggunakan teknologi retot antaranya nasi berlaukkan ayam masak merah, daging  masak kicap dan nasi goreng. 

Beliau hadir melepaskan pasukan Sukarelawan UMP Kilau di perkarangan Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak di UMP Pekan. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

Selain itu, usaha ini juga dirangka sebagai pelan jangka masa panjang dengan membangunkan ‘Sustainable Campus Life Planning’ yang komprehensif meliputi pelan makanan, asrama, pengangkutan, peranti dan lain-lain bagi kemudahan pelajar dalam universiti. 

Dalam pada itu, seramai 3,000 sukarekawan Kilau UMP dalam kalangan staf dan pelajar bersiap siaga bagi membantu pascabanjir yang akan berlaku khususnya di negeri Pahang dan di Pantai Timur. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit