Skip to main content

Sukarelawan UMP terus santuni mangsa banjir

KUANTAN, 25 Disember 2021 - Lebih 500 sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyantuni mangsa banjir di negeri ini sejak banjir luar biasa pada seminggu lalu. 

Bantuan UMP kini berfokus kepada penghantaran sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan dan juga memberikan bantuan keperluan asas harian kepada mangsa banjir yang terlibat terutama melibatkan staf dan keluarga pelajar yang terjejas.

Sejak seminggu sukarelawan berkampung di beberapa lokasi antaranya Taman Inderapura, Taman Guru, Taman Sri Damai Perdana, Gudang Rasau Perdana, Kampung Teluk Mahang, Padang Garuda, Perumahan Damai Aman, Batu 7 Jalan Gambang dan Taman Impian Perdana.

Misi hari ini diteruskan melibatkan seramai 70 sukarelawan UMP termasuk 17 Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) berkampung di Taman Inderapura bagi membantu membersihkan rumah pelajar yang terjejas banjir.

Bagi Arif Fadilah Ahmad Sofi yang mengetuai misi kesukarelawanan berkata, perasaan hiba melihat tahap kerosakan akibat terjejas banjir dan usaha pasukannya diharapkan dapat meringankan beban mangsa dan keluarga. 

“Dengan cuaca yang baik hari ini memberi peluang sukarelawan membersihkan rumah mangsa banjir apabila air mulai surut beberapa hari lalu. 

“Kami membahagikan tugasan sukarelawan mengikut kumpulan agar proses pembersihan berjalan lancar memandangkan masih terdapat baju, tilam dan barangan milik keluarga yang masih kotor dan basah,” katanya. 

Manakala bagi Lt Muda PA Muhammad Syamirul Saiful yang menyertai program berkata, pengalaman ini berharga baginya yang merupakan seorang pelajar dan juga sebagai seorang pegawai baharu dalam Kor Sispa. 

“Segala ilmu dan latihan  yang dipelajari sebelum ini dapat dipraktikkan dalam situasi yang sebenar ketika menghadapi situasi sebelum dan juga selepas bencana banjir.

“Selain itu, dengan menyertai sukarelawan banjir ini akan dapat menghapuskan sikap pentingkan diri dan minda akan lebih terbuka dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya. 

Dalam pada itu, Yayasan UMP turut menyediakan bantuan kecemasan berbentuk keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan kit kebersihan akibat bencana banjir kepada staf dan pelajar UMP yang terkesan. 

Sumbangan kewangan diterima daripada orang ramai, industri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan yang sudi menyumbang ke Tabung Bencana UMP. 

Turut menyertai misi Ketua Pegawai Operasi UMP, Hazmin Aris, Ketua Sukarelawan Staf Jawatankuasa Bertindak Bencana Universiti, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais dan Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Haryani Abdullah.

Dalam pada itu, UMP turut menyelaras hampir 300 sukarelawan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) sebagai usaha membantu mangsa banjir di Pahang. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit