Skip to main content

Anugerah Naib Canselor milik Rashwini

PAYA BESAR, 5 November 2022 – Aktif dalam kokurikulum dan berpesatuan sewaktu di Universiti Malaysia Pahang  (UMP) bukan alasan ketinggalan dalam pelajaran. 

Ia dibuktikan oleh Rashwini a/p Balasuntram, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian  yang telah meraih Anugerah Naib Canselor di Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 baru-baru ini.

Anak kepada pasangan Manjulah Radakrishnan dan Balasuntram Balaraman itu berkata, pengurusan masa amat penting dalam meraih kejayaan. 

Meskipun aktif dalam Skuad Yayasan UMP, terlibat dalam persembahan tarian untuk majlis-majlis di UMP dan pertandingan-pertandingan yang UMP anjurkan, ia bukanlah alasan untuk  mengabaikan pelajaran.

Katanya, seseorang pelajar itu harus bijak mengurus masa dengan baik dan sentiasa mengulang kaji pelajaran secara sistematik. 

“Walaupun saya memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan bagi Kelab IEM UMP, saya tidak pernah leka dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan sentiasa memberi keutamaan pada setiap projek serta tugas yang diberikan oleh pensyarah.

“Jika waktu siang saya sibuk dengan aktiviti dan program di UMP, pada sebelah malam pula saya akan fokuskan kepada pelajaran,” katanya. 

Anugerah Naib Canselor milik Rashwini

Tambah anak kelahiran Klang, Selangor ini, beliau sendiri tidak menduga akan terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor kerana merasakan lebih ramai yang layak.

Rashwini mencatat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) 3.87 ketika menuntut di UMP.

Tambah anak gadis yang amat meminati persembahan tarian ini, beliau juga pernah mewakili universiti dalam National Chemical Engineering Symposium, Petron Road Safety Program 2018 dan The 10th IEM Design Competition’, untuk Plant Design bertopik ‘Production of Gasoline from Polypropylene Plastic Waste’.

Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik ini, beliau bercita-cita untuk berkerja sebagai jurutera dan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) suatu masa nanti.

Rashwini telah menerima anugerah yang telah disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di Dewan Kompleks Sukan UMP Paya Besar pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UMP.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris