Skip to main content

Ashviny a/p Murugan anak pemandu lori Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

KUANTAN, 17 Mac 2022 - Anak seorang pemandu lori menjadi kebanggaan apabila menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Ashviny Murugan, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) menerima anugerah yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Abi  Musa Asa'ari Mohamed Nor pada sesi pertama dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. 
 
Ashviny merupakan anak kepada pasangan Murugan Vasu, 46 yang bekerja sebagai pemandu lori di KSG Enterprise Sdn. Bhd. dan Maruthamah, 45 yang bekerja sebagai pekerja am R&D di Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. 

Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, anak sulung daripada lima beradik ini dibesarkan oleh datuk dan neneknya lantaran kesibukan kedua ibu bapanya mencari rezeki bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.
 
Baginya, walaupun ibu bapa sibuk mencari rezeki, merekalah tulang belakang kejayaannya. 

Katanya, kesukaran yang dihadapi sejak kecil merupakan pembakar semangat untuk terus berjaya.

Ashviny a/p Murugan anak pemandu lori Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

 
“Pernah melihat ibu bapa saya tetap bekerja tanpa mengambil sebarang cuti walaupun tidak sihat. 

“Sejak itu, saya telah membuat keputusan bahawa untuk membantu mereka kelak bagi meringankan beban hidup. 

“Belajar berubah menjadi lebih baik dan terus berjaya yang akhirnya boleh membawa senyuman pada wajah mereka,” nasihatnya
 
Ashviny berjaya menghabiskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Kuala Selangor dengan keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian pada peringkat sijil di Kolej Matrikulasi Melaka dan berjaya memperoleh keputusan PNGK 4.00 dalam jurusan Sains Biologi dan Fizikal (Modul 1).
 
Bercita-cita menjadi seorang jurutera, Ashviny nekad memilih untuk menyambung pengajian di UMP. 

Kecemerlangan Ashviny terserlah apabila berjaya memperoleh anugerah dekan bagi enam semester berturut-turut dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dengan PNGK 3.70. 

Tidak sahaja cemerlang dalam bidang akademik, Ashviny turut aktif dalam pelbagai kegiatan kurikulum. 

Walaupun pada mulanya sukar untuk membahagikan masa di antara akademik dengan aktiviti kurikulum, beliau cepat menyesuaikan diri dan bijak mengisi masa lapang dengan menyertai pelbagai aktiviti khidmat masyarakat seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR). 

Dalam kesibukan menyiapkan projek tahun akhir (final year project II) dengan jumlah baki kredit yang agak tinggi, beliau masih berpeluang untuk menyertai aktiviti CSR peringkat antarabangsa yang diadakan di Thailand.
 
Penglibatan aktif beliau dalam aktiviti persatuan dan penyertaan pelbagai pertandingan penyelidikan telah membantu mengasah bakat kepimpinan dan menyerlahkan lagi potensi serta keyakinan diri. 

Ashviny a/p Murugan anak pemandu lori Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Ini dibuktikan dengan pemilihan beliau sebagai bendahari bagi program ‘Malam Koi Anti Rasuah’ anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Exco Sains dan Teknologi, Kesatuan Mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan (PROTECH), ketua pasukan pendaftaran bagi Freedom Run 2.0 anjuran SPRM, fasilitator Kem Motivasi In-smartive Sekolah Kebangsaan Serandu dan ahli jawatankuasa Kejohanan Memanah Tertutup UMP 2.0.
 
Menurutnya, beliau telah menghadapi pelbagai masalah dan cabaran semasa belajar di universiti. 

“Tetapi saya tidak pernah berputus asa dalam pelajaran dan terus memotivasikan diri untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.
 
“Tiada yang mustahil dalam hidup kita. Jika kita mencuba kita boleh menjadikan semua yang mustahil menjadi mungkin,” ujarnya. 
 
Banyak kenangan pahit manis sepanjang pengajian di UMP. 

Kejayaan terbesar yang meninggalkan kesan kepada beliau adalah apabila berjaya meraih pingat perak dalam 10th Creation Innovation Technology and Research Exposition (CITREX 2020) bagi penyelidikan yang dihasilkan dan berjaya meraih naib juara dalam pertandingan Do It Yourself oleh International Festival of Innovation on Green Technology (i-FINOG).
 
Prinsip hidup, ‘what you think is who you will become’ atau ‘minda kita adalah segalanya’ disemat dalam sanubarinya sepanjang pengajian di UMP yang telah memberikan pengalaman hidup tidak ternilai. 

Penyertaan aktif dalam pelbagai aktiviti kurikulum secara tidak langsung telah melatih dan membentuk diri beliau menjadi seorang yang lebih kuat, berdisiplin dan matang untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
 
Latihan industri yang dihadiri pada semester akhir pengajian juga memberi satu nilai tambah kepada beliau apabila Syarikat Novugen Pharma (M) Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan sebagai Jurutera (Pematuhan Farmaseutikal) di Jabatan Kejuruteraan selepas tamat latihan industri selama enam bulan di syarikat berkenaan.
 
Tatkala dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, beliau turut tidak terkecuali merasa kesannya. 

Walaupun pada mulanya agak sukar menyesuaikan diri dengan normal baharu, namun itu sama sekali tidak dijadikan alasan untuk meraih kejayaan. 

Menghabiskan semester yang berbaki secara dalam talian menuntut beliau untuk menjadi individu yang bijak menguruskan masa, multitasking dan serta dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dan sikap bekerjasama antara satu sama lain.
 
Berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), anak muda ini berharap agar segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh selama pengajian di UMP dapat diaplikasikan bagi membantu generasi muda. 

Beliau juga berharap agar kisah kejayaan beliau dapat dijadikan inspirasi oleh golongan muda pada masa kini untuk terus berusaha menempa kecemerlangan.

Disediakan oleh: Nadira Hana Ab Hamid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan  Pembuatan dan Mekatronik  (FTKPM)

Reports by:
Nadira Hana binti Ab Hamid