Skip to main content
Ee Hui En sukarelawan Yayasan UMP penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Ee Hui En sukarelawan Yayasan UMP penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

KUANTAN, 6 Ogos 2022 - Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dengan PNGK 3.89, Ee Hui En, 25, yang juga sukarelawan UMP dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Anugerah disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 di UMP Kampus Gambang.

Anak bongsu kepada pasangan Ee Koon Poon, 66 seorang pesara dan Chua Siew Wan, 57, seorang tenaga pengajar, yang dilahirkan di Kuala Lumpur ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam bidang kokurikulum.

Ee Hui En sukarelawan Yayasan UMP penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Selain berjaya memperoleh sijil anugerah dekan pada setiap semester pengajian di UMP, ketokohan beliau turut terserlah apabila diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan penting dalam pelbagai persatuan, program dan kelab.

Beliau merupakan Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UMP) Sesi 2019/2020 dan Exco Akademik Perwakilan Mahasiswa Residen Kediaman 3 (PEKA-3) Sesi 2017/2018.

Beliau juga juga merupakan sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan penglibatan aktif Ee Hui En dalam program kesukarelawanan telah membantu mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri.

Katanya, pengalaman yang diperoleh juga telah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan sikap bekerjasama serta mencorakkan keperibadian diri menjadi seorang yang lebih matang, berani serta berkeyakinan tinggi.

“Selain itu, latihan industri yang saya jalani selama enam bulan di Moreth Sdn. Bhd. telah menarik minat saya untuk membangunkan karier dalam bidang Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal).

“Kini, saya merupakan Jurutera Produk Baharu di tempat yang sama dan ditawarkan jawatan tetap pada bulan ketiga perkhidmatan,” katanya.

Di samping itu juga, beliau turut diberi kepercayaan dilantik sebagai presiden program Jelajah Desa@Pos Menson dan naib presiden program ASEAN Mobility UMP Scholar@Thailand 2019.

Beliau juga dilantik sebagai naib presiden bagi program UMP Dihatiku!, setiausaha bagi program Value Innovation ASEAN 4.0 Thailand-Malaysia dan juga presiden bagi program Oh Englishku!

Ee Hui En turut aktif menyertai aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan oleh Yayasan Sukarelawan Siswa seperti, YSS Volunteer Management Training Course: Kickstarting Volunteer Projects/Initiatives 2020, YSS Virtual Volunteer Leadership Development Programme (VLDP) 2020, Volunteer Leadership Development Programme and Alumni Strategic Retreat 2019, 16th IAVE Asia-Pacific Regional Volunteer Conference 2019, dan YSS ASEAN International Volunteer Mission Vietnam, Green Summer Volunteer Campaign 2019 sebagai ketua pasukan.

Beliau amat berterima kasih kepada pensyarah UMP seperti Ts. Dr. Mohd Azmir Arifin, Dr. Wan Nurul Huda Wan Zainal, Dr. Siti Umairah Mokhtar, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Dr. Rajaletchumy a/p Veloo Kutty yang sangat berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing serta banyak membantu beliau dan rakan-rakan sepanjang pengajian di UMP.

Selain itu, Ee Hui En menzahirkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pegawai UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, Azlina Abdul Mubin dan Siti Hazwani Shuhaimi yang tidak pernah lokek dalam menghulurkan bantuan, memberi panduan dan motivasi serta yakin kepada kebolehan yang ada dalam dirinya.

Ee Hui En sukarelawan Yayasan UMP penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Disediakan Oleh: Nadira Hana Ab Hamid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, dan Nur Hartini Mohd. Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News