Skip to main content

Graduan berkompetensi tinggi punyai kelebihan dalam kebolehpasaran

KUANTAN, 17 Mac 2022 - Graduan yang mempunyai kompetensi tinggi dengan menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan diri, dapat berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi mempunyai kelebihan mendapat tempat dalam pekerjaan. 

Menurut Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan sejumlah 190,436 peluang pekerjaan pada Disember 2021, 69 peratus daripadanya adalah berasaskan TVET dan 19 peratus lagi dalam sektor pembuatan.

“Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan tiga inisiatif JaminKerja iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short term Employment Program (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi mencerdaskan semula ekonomi negara untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan,” katanya yang berucap semasa sesi pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 hari ini. 

Ujarnya, kesemua inisiatif ini perlu disokong bagi memastikan matlamat pengangguran di bawah empat peratus tercapai.

“Selain itu, memahami situasi pada masa kini dan realiti ekonomi semasa, keperluan tenaga kerja ketika ini amat mencabar daya saing anda sebagai graduan. 

“Malahan saya sedar para graduan semua pastinya sangat teruja sekiranya dilantik sebagai profesional muda setelah menamatkan pengajian, namun untuk menempatkan diri dan menempa nama di alam kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. 

“Keupayaan dan kompetensi sebenar graduan akan diuji dan dinilai. 

“Justeru, graduan mestilah menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan berpaksikan sinergi ilmu, kemahiran teknikal, insaniah dan sahsiah yang murni sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara,” katanya. 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para graduan pada sesi pertama yang terdiri daripada doktor falsafah, sarjana, graduan program dual ijazah dan ijazah sarjana muda atas kejayaan mereka. 

Dalam pada itu, majlis konvokesyen pada kali ini turut menobatkan graduan Dual Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif - (Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman), Nurain Rozi sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang). 

Beliau turut meraih Hadiah Kecemerlangan Dual Ijazah sumbangan Association of German Engineers (VDI). 

Turut sama menerima anugerah Pingat Jaya Cemerlang adalah Ashviny a/p Murugan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).

Seramai 3,556 graduan termasuk 37 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan dirai dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula hari ini  sehingga  20 Mac ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit