Skip to main content

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

PAYA BESAR, 8 November 2022 - Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya meraikan seramai 12,174 graduan sepanjang tahun ini apabila mencatat sejarah buat pertama kalinya diadakan sebanyak tiga kali setahun melibatkan graduan tahun 2020,2021 dan 2022.
 
Menyorot semula pelaksanaan Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 (MKK15) menyaksikan seramai 3,556 graduan dirai pada 16 hingga 20 Mac 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan COVID-19.

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

 
Manakala Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 (MKK16) yang diadakan pada 6 hingga 9 Ogos 2022 pula menyaksikan seramai 4,083 graduan bagi tahun 2021 dan seramai 4,535 graduan UMP bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 (MKK17) mulai 5 hingga 8 November 2022 di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang atau kini dikenali sebagai UMP Paya Besar. 

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

 
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam perkhidmatan di alam pekerjaan nanti bagi meneruskan kegemilangan UMP.
 
“Para graduan juga dinasihatkan agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa, keluarga, rakan-rakan serta warga UMP yang telah bersama-sama membantu bermula dari mula melangkah masuk ke universiti sehingga bergelar alumni,” katanya dalam sesi keenam pada MKK17 terakhir pada tahun ini.
 
Ujarnya, beliau yang mewakili pihak pengurusan tertinggi universiti turut menghargai dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor yang hadir menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada graduan pada hari pertama majlis konvokesyen yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan barisan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
 
Selain itu, pihaknya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh Jawatankuasa Pelaksana MKK dan Jawatankuasa Pelaksana Ekspo Konvokesyen yang berjaya memastikan semua program berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MKK, Saiful Bahri Ahmad Bakarim yang juga merupakan Pendaftar UMP berkata, pihaknya bersyukur apabila penganjuran majlis konvokesyen berjalan lancar dengan komitmen dan kerjasama baik semua petugas di bawah jawatankuasa masing-masing dengan pelbagai pembaharuan dan menimba pelbagai pengalaman baharu.
 
Dalam pada itu, penganjuran Festival Makanan Cita Rasa Malaysia dan Ekspo Konvokesyen 22’ juga berjaya memberi peluang warga kampus dan orang ramai mengenali identiti Pahang yang terkenal dengan menu tradisi yang unik dan popular di sesebuah daerah menerusi pertandingan masakan bertemakan menu negeri di Malaysia dan daerah di Pahang dengan kerjasama pihak ADABI.
 
Menurut Saiful Bahri, UMP turut melancarkan pakej makanan ‘Ready to Eat’ melalui teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dengan kerjasama dengan pelbagai pihak terbabit dengan bermatlamatkan ‘Zero Hunger’ di dalam kampus hasil usaha sama antara Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Yayasan UMP.

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

“Kemudahan ini sebagai persediaan bagi menyediakan makanan dan kecemasan pelajar yang bekeperluan untuk mendapatkan makanan yang sediakan untuk dimakan. 

“Selain itu, usaha ini dirangka sebagai pelan jangka masa panjang dengan membangunkan ‘Sustainable Campus Life Planning’ yang komprehensif meliputi pelan makanan, asrama, pengangkutan, peranti dan lain-lain bagi kemudahan pelajar,” katanya.

Turut berlangsung Pameran Penyelidikan dan Teknologi dan Keselamatan Makanan yang dianjurkan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi. 

Antara produk yang dipamerkan adalah produk Prepecto yang menggunakan teknologi nutrisi tumbuhan prebiotik dan juga keluaran terbaru penyelidikan beliau iaitu gula madu yang baik untuk menggantikan pengunaan gula di dalam kehidupan seharian.

Begitu juga dengan produk kajian Kleva Bio Fertilizer Plus + yang diilhamkan oleh Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi yang menjadi salah satu produk yang berjaya menarik minat pengunjung sepanjang Pameran Festival Makanan Cita Rasa Malaysia dan Ekspo Konvokesyen 22. 

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

Lain-lain produk termasuklah baja, Sistem Pemantauan Pintar, IoT, Madu Kelulut dan sebagainya.
 
Turut mengambil bahagian di dalam pameran, Syarikat MNR Multitech dan Supercat yang diilhamkan oleh penyelidik kelahiran UMP iaitu Ts. Mohd Najib Razali yang mempromosikan produk yang mampu merawat sisa air daripada pelbagai industri dengan menggunakan agen pembekuan untuk mengasingkan sisa minyak dari air dan juga termasuklah produk makanan kucing yang tinggi dengan kandungan protein sehingga 38 peratus.

Konvokesyen UMP melabuh tirainya catat sejarah 12,174 graduan dirai sepanjang tahun 2022

Ekspo Konvokesyen UMP turut diserikan dengan penampilan khas persembahan artis Dato’ Ahmad Azhar Othman atau Awie yang hadir bersama ahli WMGS Pahang yang merupakan kelab permotoran yang terbesar di Pahang dan antara charter terawal dalam WMGS ASEAN yang mempunyai charter di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei, dan Thailand.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit