Skip to main content

Nur Izana aktif KOR SISPA terima Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga

KUANTAN , 17 Mac 2022– Penglibatan aktif Nur Izana Zaherman, 26 dalam Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) di Universiti Malaysia Pahang  (UMP) mengajarnya erti pengorbanan, disiplin dan amanah.

Nilai-nilai tersebut menjadikan beliau insan yang lebih kuat dan tabah untuk mengharungi liku-liku kehidupan sebagai bekalan pada masa hadapan.

Namun bagi anak pemandu teksi ini, beliau berjaya membuktikan disiplin dan amanah merupakan tonggak dalam kejayaan sehingga berjaya meraih Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga Sdn. Bhd. dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 baru-baru ini.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri ini, di UMP merupakan satu pengalaman yang amat mendewasakannya apabila terdapat pelbagai kenangan pahit dan manis berlaku.

“Jika dahulu sebagai seorang KOR SISPA, kami akan terlibat dalam memeriahkan Majlis Konvokesyen UMP dan program Expo konvoksyen.

“Bermula dari situ, saya sentiasa menanamkan dalam diri untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih kejayaan suatu masa nanti,” katanya.

Nur Izana aktif KOR SISPA terima Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga

Beliau mengucapkan kesyukuran apabila impiannya menjadi kenyataan dan pastinya sekalung penghargaan terima kasih ditujukan khas buat kedua ibu bapanya serta kepada pensyarah di UMP kerana tanpa doa mereka, mungkin beliau tidak dapat berada pada tahap ini.

Anak sulung daripada dua beradik ini, kini bertugas sebagai Eksekutif Pembelian (Purchasing Executive) di Southern Acids Cronos Resource Sdn. Bhd. dan kini sudah sampai masanya untuk beliau pula membalas jasa kedua ibu bapanya.

Tambahnya, sepanjang pembelajaran di UMP,  setiap subjek yang diajar amat berguna bagi setiap graduan untuk menempuh alam pekerjaan dalam bidang masing-masing.

“Sebagai analogi, subjek Procurement in Industrial Management yang saya pelajari amat berkait rapat dengan pekerjaan saya sekarang.

“Malahan ia amat membantu saya untuk mengetahui asas ilmu pembelian dalam alam pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris