Skip to main content

Pegawai Simpanan Tentera Laut, Aidisyahrul Hanif Zulkifli terima Anugerah Kecemerlangan Perodua

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Leftenan Muda Pegawai Simpanan Tentera Laut, Aidilsyahrul Hanif Zulkifli, 24 membuktikan kesibukan dalam bidang kokurikulum bukan penghalang untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Perodua.
 
Katanya, setiap titik peluh dan perjuangan itu pasti ada hasil dan ganjarannya. 

“Meski mempunyai tempoh masa berehat yang singkat namun ia tidak akan membuat saya berputus asa dan mengeluh.
 
“Dan pastinya penyumbang terbesar kejayaan saya hari ini kedua ibu bapa saya yang sentiasa membimbing dan memberi kata-kata semangat untuk saya meneruskan perjuangan. Tidak lupa juga kepada keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan UMP,” katanya. 

Pegawai Simpanan Tentera Laut, Aidisyahrul Hanif Zulkifli terima Anugerah Kecemerlangan Perodua

Penerima Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik - (Program Kerjasama Dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) berkata, kejayaan paling manis sepanjang menuntut di UMP ialah dapat mencipta simulasi Muzium Sungai Lembing sehingga membawa beliau ke universiti di Jerman untuk dibentangkan  kepada pelajar di sana.
 
Anak kepada pasangan Jurutera Zulkifli Zainal,51 dan Mela Kerlina Mohd Isa, 48 berhasrat dapat memiliki sebuah syarikat sendiri dan membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
 
Anak kelahiran Kluang, Johor kini berkhidmat di syarikat Robopreneur Sdn. Bhd.
 
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 yang berlangsung di Kompleks Sujan UMP Paya Besar.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri