Skip to main content

Pendidikan fleksibel peluang tingkat keupayaan pembangunan modal insan berilmu

KUANTAN, 20 Mac 2022 - Penawaran program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bakal memberi ruang dan peluang kepada golongan berkerjaya dan industri yang berkelayakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta membuka peluang bagi meneruskan pembelajaran yang lebih tinggi. 

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kepentingan pendidikan masa hadapan berasaskan pendidikan fleksibel selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi) Lonjakan Ketiga: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat. 

“Model Pendidikan ini menjadi tunggak utama penawaran Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) UMP yang menyediakan peluang pembangunan modal insan yang berilmu bagi memacu pembangunan ekonomi negara,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan kepada graduan UMP, agar mereka haruslah menjadi insan berpekerti mulia yang menjadi contoh teladan kepada yang lain dan memiliki akhlak yang terpuji.

Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie hadir menyampaikan diploma dan ijazah kepada graduan UMP Advanced yang menyaksikan seramai 958 orang graduan terdiri daripada 510 graduan Master Eksekutif, 448 graduan  Bacelor Eksekutif dan Diploma Profesional pada sesi keenam dan ketujuh Majlis Konvokesyen UMP Ke-15.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada para graduan Program Profesional dan Eksekutif atas pencapaian dan kegigihan mereka melanjutkan pengajian sehingga berjaya dalam bidang masing-masing.

Turut sama hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Mohd Sharil Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Di samping itu, Dato’ Mohd Sharil  menzahirkan komitmen bahawa UMP Advanced akan terus memperkasakan program pengajian sepanjang hayat bagi memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada segenap lapisan masyarakat. 

Pendidikan fleksibel peluang tingkat keupayaan pembangunan modal insan berilmu

Ujarnya, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sedang bekerja dan dalam masa yang sama mempunyai keazaman untuk melanjutkan pengajian tinggi.

“UMP Advanced percaya bahawa semua orang mempunyai hak untuk menuntut ilmu dan di UMP Advanced kami berpegang kepada moto Education For All, No One Left Behind dan  sebagai peneraju dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat komited untuk menyediakan program pengajian yang berkualiti dan relevan,” tambah beliau.

Pihaknya bersyukur kerana dapat merealisasikan Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 secara bersemuka pada kali ini setelah terpaksa menangguhkannya dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Dalam pada itu, UMP akan melaksanakan majlis konvokesyen sebanyak tiga kali pada tahun ini, iaitu Majlis Konvokesyen Ke-15 yang sedang berlangsung mulai 17 hingga 20 Mac, Majlis Konvokesyen Ke-16 pada bulan Ogos dan Majlis Konvokesyen Ke-17 pada bulan November nanti. 

Bersempena 20 tahun penubuhan UMP sebagai universiti awam yang ke-16 di Malaysia,  universiti berjaya melahirkan graduan yang kompeten dan menjadi rebutan para majikan. 

Sehingga kini, UMP telah berjaya melahirkan seramai 33,573 orang graduan manakala tahap kebolehpasaran graduan UMP berada pada tahap yang sangat membanggakan iaitu 96 peratus. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit Daripada Unit Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit