Skip to main content

Sambung pengajian buka lebih banyak peluang

PAYA BESAR, 8 November 2022 - “Dengan memiliki pendedahan, ilmu dan penilaian yang berkualiti adalah tiket untuk kita membuka lebih banyak peluang kejayaan pada masa hadapan,” kata Fatrus Bahari, 45, penerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), UMP Advanced dalam Majlis Konvokesyen UMP kali Ke-17.

Fatrus Bahari berkata, walaupun ada yang berpendapat pada ketika ini kelayakan akademik bukan segalanya, namun melalui pendidikan formal yang diktiraf oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah penting untuk lebih maju dan berdaya saing di masa hadapan.

“Saya memilih Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk melanjutkan pengajian kerana ia menawarkan kursus pengurusan perniagaan yang sesuai dengan jawatan yang saya sandang sekarang dan mempunyai kampus alternatif di Kuching, Sarawak untuk memudahkan proses menghadiri kelas pada hujung minggu,” katanya. 

Fatrus yang merupakan graduan Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan menyeru kepada warga industri khususnya generasi muda agar sentiasa mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu kerana dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai sesuatu perkara ia akan bermanfaat kepada individu tersebut pada masa hadapan.

“Galakan menuntut ilmu kepada generasi muda sekarang perlu dipertingkatkan dalam memberi kesedaran kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di IPT bagi keperluan modal insan yang berpengetahuan tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Turut menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ialah Ong Chang Yang, graduan Bacelor Eksekutif Teknologi Mekatronik, 35, yang berjaya memperoleh PNGK 4.00 turut berkongsi kejayaan bersama keluarga tersayang.

“Ibu dan kakak telah banyak berkorban masa dan wang simpanan mereka untuk membantu saya mendapatkan pelajaran supaya memperoleh pekerjaan yang baik untuk mengubah kehidupan kami pada masa yang akan datang,” katanya.

Beliau turut menasihati generasi muda hari ini agar sentiasa mempunyai keinginan untuk melanjutkan pelajaran walaupun sudah mempunyai kerjaya yang tetap dan terjamin.

Ujarnya, umur yang masih muda, kita perlu melanjutkan pelajaran setinggi mana yang mampu supaya tidak menyesal pada masa tua nanti. 

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) UMP Advanced ini disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-17. 

Disediakan oleh Sakinah Abdullah, UMP Advanced 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News