Skip to main content
Soo Mann Sian raih Anugerah Naib Canselor hadiah buat ayah dan ibu

Soo Mann Sian raih Anugerah Naib Canselor hadiah buat ayah dan ibu

KUANTAN, 17 Mac 2022 - Pastinya menjadi impian setiap graduan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen setelah bertungkus-lumus menuntut ilmu, tambahan pula apabila mengetahui turut menerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15.

Namun, dengan kekangan keadaan ibunya yang tidak sihat, Soo Mann Sian, 26 sanggup berkorban untuk memilih tidak hadir ke majlis konvokesyen demi menjaga ibunya yang menghidap kanser.
 
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor berkata, kesihatan ibunya lebih penting dari segalanya. 

“Tambahan pula, saya merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik.
 
“Walaupun saya tidak dapat hadir, namun rasa teruja dan gembira apabila terpilih menerima Anugerah Naib Canselor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang membesarkan saya dengan penuh kasih sayang. 

“Kejayaan ini saya hadiahkan pada ibu dan ayah yang telah banyak berkorban selama ini,” kata graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) dengan Kepujian,
 
Menurut anak kelahiran Pulau Pinang ini juga, beliau gembira kerana kini telah bergelar jurutera di Syarikat iFAST Capital Sd. Bhd. yang berpangkalan di Singapura. 

Secara tidak langsung, beliau dapat menabur bakti kepada kedua ibu bapanya.
 
Soo Mann Sian yang meraih PNGK 3.91 berkata, beliau amat berbangga bergelar graduan UMP. 

Katanya, di UMP pelbagai kemahiran hands-on yang telah dipelajari dan memudahkan pelajar untuk melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat pengajian.
 
“Selain itu, pensyarah juga memainkan peranan baik dalam membantu memberi inspirasi dan berkongsi kemahiran serta pengetahuan yang profesional,” ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua para pensyarah UMP yang sentiasa memastikan pelajar dapat memenuhi kehendak industri.
 
Tambahnya lagi, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. 

Beliau percaya bahawa langkah-langkah untuk mencapai kejayaan adalah menetapkan matlamat terlebih dahulu, kemudian pelajar perlu melengkapkan diri dengan sikap rajin, keazaman yang tinggi dan mengejar matlamat dengan penuh komitmen sehingga berjaya.
 
Jelas beliau lagi, kejayaan bukanlah sesuatu yang boleh diperoleh dalam sekelip mata dan mungkin kejayaan tidak akan berlaku dalam jangka masa yang pendek, kadangkala ia memerlukan komitmen jangka masa yang sangat panjang.
 
“Sememangnya, kita akan menghadapi banyak kegagalan dalam perjalanan kita ke arah mencapai matlamat tetapi kita perlu sentiasa mengingatkan diri sendiri, jangan takut pada kegagalan,” katanya.
 
Disediakan Oleh; Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris