Skip to main content

Tunai impian tertangguh, graduan UMP Advanced terima Anugerah PSH

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Impian seorang Eksekutif Teknik TNB akhirnya tercapai apabila beliau kini berjaya mengenggam segulung ijazah apabila bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Elektrik (Elektronik) Separuh Masa, UMP Advanced.

Menurut Mohd Rohani Awang, 44, beliau berasal daripada keluarga yang susah dan adik-beradik yang ramai. 

“Jika diikutkan saya hanya bersekolah sehingga darjah enam sahaja tetapi saya menangis dan mohon kepada dua abang tiri serta arwah nenek saya untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu,” katanya yang berasal dari Pahang.

Selepas itu beliau tekad untuk bekerja terlebih dahulu bagi mengumpul duit sebelum menyambung pengajian di peringkat sijil dan diploma. 

Mohd Rohani berkata, semangatnya tidak pernah pudar untuk mendapatkan pendidikan tertinggi walaupun setelah berkeluarga dan mempunyai kerjaya yang stabil.

Malahan sebelum mendirikan rumah tangga, beliau ada menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi dan sekarang dengan izin Allah SWT serta restu daripada isteri dan anak-anak, beliau berjaya capai impian dan menggenggam segulung ijazah. 

Berkat usahanya, beliau menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), UMP Advanced.

Apabila mendapat tahu bahawa UMP ada menawarkan pengajian ijazah secara separuh masa beliau terus merebut peluang tersebut.

Ujarnya, kesempatan inilah yang ditunggu-tunggu untuk merebut peluang bagi melunaskan cita-cita yang tergendala. 

Tambahan pula, pihak TNB sentiasa memberi ruang dan membuka peluang untuk stafnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menasihati generasi muda hari ini agar tidak mudah putus asa dan sentiasa berusaha untuk mencapai impian dan kejayaan.

Ujarnya, walaupun kita tidak berjaya untuk memilikinya hari ini, yakinlah kepada Allah SWT bahawa kejayaan pasti akan kita kecapi di kemudian hari jika kita tidak mudah putus asa kerana Allah SWT telah sediakan kejayaan itu untuk kita. 

Disediakan oleh Sakinah Abdullah, UMP Advanced 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News