Skip to main content
Universiti sebagai tempat memupuk sifat kepimpinan – Nurul Maherah

Universiti sebagai tempat memupuk sifat kepimpinan – Nurul Maherah

KUANTAN, 17 Mac 2022 – Sifat kepimpinan perlu disemai di dalam diri individu agar dapat melahirkan insan yang berkeyakinan, bijak merancang dan mampu mendorong orang lain untuk melakukan sesuatu bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

Menurut Nurul Maherah Md Mansor, 25, terdapat banyak platform yang boleh dijadikan tempat untuk mengasah bakat kepimpinan ini termasuk mendapatkannya di universiti melalui latihan secara formal.

“Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), saya sering menyertai program dan kebanyakannya memegang jawatan pengarah dan setiausaha seperti di Festival Antarabangsa Inovasi Teknologi Hijau (I-Finog), Nilai Inovasi Asia 4.0 Thailand – Malaysia dan beberapa program kebudayaan yang lain.

“Selain itu, saya turut menjadi Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman Tiga sebagai presiden dan pernah menjadi Exco Kebudayaan dan Kesenian selama menuntut ilmu di sini,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Ke-15 UMP, di sini, semalam.

Nurul Maherah

Nurul Maherah yang juga merupakan penerima Hadiah Anugerah Kecemerlangan Dimension BID Sdn. Bhd. 2020, mengakui pengalaman yang ditimba ketika berada di UMP amat berguna tatkala bekerja ketika ini.

Beliau yang menyandang jawatan sebagai Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Produk di sebuah syarikat pengeluar barangan keperluan rumah di selatan tanah air mengakui, pembabitannya yang aktif dalam bidang kokurikulum itu sangat membantu beliau dalam pengucapan awam, berurusan dengan pelanggan dan kakitangan serta menyelesaikan masalah.

“Saya sangat bersyukur kerana ilmu yang dipelajari sepanjang empat tahun di universiti ini dapat diaplikasikan di dalam kehidupan sebenar.

“Justeru, saya berterima kasih kepada seluruh staf UMP terutamanya di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) kerana banyak membantu ketika saya di sana,” ujar graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan ini. 

Disediakan Oleh: Shalfarina Shariman, Penerbit UMP

Reports by:
Admin UMP News