Skip to main content

Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) beri manfaat buat pelajar UMP

KUANTAN, 16 Mac 2022 - Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang dilancar pada 15 Februari 2021 kini diperluas kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S).

Mereka yang ingin mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 akan dikecualikan fi pendaftaran dan maklumat perniagaan. 

Menurut Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia Negeri Pahang, Tuan Kamarudin Mohd Daud, inisiatif ini merupakan antara pelan pemulihan ekonomi dalam membantu meringankan beban rakyat dan sektor peniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 serta memudah cara rakyat yang terkesan menceburi bidang perniagaan.

“Ia bakal menjadi platform bagi pelajar yang berminat untuk memulakan perniagaan mendaftarkan perniagaan mereka secara sah dan profesional bagi menyakinkan para pelanggan,” katanya semasa hadir menjayakan forum webinar anjuran  Pusat Pembangunan Usahawanan Kreatif (PUPUK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Pahang. 

Selain itu, kerjasama seperti ini telah pun diadakan antara kedua pihak melibatkan program perkongsian ilmu kepada para pelajar. 

Sementara itu, Pengarah PUPUK, Dr. Nizar Mhd Razali  menasihatkan para pelajar agar dapat merebut peluang dalam Skim SPPP yang ditawarkan kepada para pelajar IPT secara percuma selama setahun. 

Menurutnya, forum ini juga memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai peranan SSM dan kepentingan untuk mendaftarkan perniagaan mereka. 

“Malahan pihak SSM juga mengadakan sesi pembukaan kaunter pendaftaran perniagaan di UMP Pekan dan Gambang pada 23 Mac 2022,” katanya. 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan sebuah badan berkanun yang dibentuk di bawah Akta Parlimen yang mengawal selia hal ehwal korporat dan perniagaan di Malaysia. 

Ia berfungsi sebagai sebuah agensi untuk memperbadankan syarikat dan mendaftarkan perniagaan serta menyediakan maklumat syarikat dan perniagaan kepada orang ramai. 

Turut hadir Ketua Program Keusahawanan, Ts. Dr. Noorhuzaimi@Karimah  Mohd Noor. 

Manakala pelajar tahun dua  Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pengurusan, Siti Nur Fatimah Mohd Azli bertindak sebagai moderator.  

Forum berjaya menarik penyertaan seramai 400 orang pelajar. 

Disediakan oleh: Halizan Mohmood, Pusat Keusahawanan 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News