Skip to main content

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Norma baharu, segalanya digital. Tidak dinafikan keperluan penggunaan bahan sumber elektronik semasa tempoh pandemik yang melanda kini agak meningkat. Kesedaran pengguna untuk mengenali dan menggunakan sumber rujukan elektronik juga semakin menggalakkan. Sebagai sebuah perpustakaan akademik yang menyokong aktiviti pembelajaran dan kecemerlangan penyelidikan, Perpustakaan UMP telah melanggan beberapa sumber rujukan elektronik untuk kegunaannya. Pada tahun 2018 dan 2019, jumlah langganan sumber rujukan elektronik adalah sebanyak 14 judul manakala pada tahun 2020 pula telah berkurang kepada sepuluh judul sahaja.  

Para pengguna boleh mengakses sumber elektronik yang dilanggan dari dalam kampus (direct access) atau dari luar kampus (off-campus access). Akses dari luar kampus perlu melalui link http://ezproxy.ump.edu.my dan senarai judul langganan sentiasa dikemas kini serta boleh diperoleh di portal Perpustakaan https://umplibrary.ump.edu.my/.

Di bawah Lesen Perjanjian Sumber Elektronik, penggunaan sumber elektronik tertakluk pada beberapa syarat penggunaan dan para pengguna bertanggungjawab untuk sama-sama mengikuti perjanjian yang telah dipersetujui. Terdapat lima peranan dan tanggungjawab kita sebagai warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang perlu diikuti:

1.     Tidak memberikan nombor pengenalan staf / no matrik pelajar dan kata laluan kepada pihak ketiga

Perkongsian kata laluan akses sumber elektronik dari luar kampus (Off-Campus Access Ez-Proxy) adalah tidak dibenarkan termasuklah kepada keluarga, rakan belajar atau rakan sekerja. Sekiranya kata laluan tersebut digunakan oleh orang lain dan menyebabkan akses ke sumber elektronik tersebut disekat oleh penerbit atau pembekal, Perpustakaan berhak menghubungi pemilik nombor staf atau nombor matriks pengguna tersebut untuk memberikan keterangan. Pengguna luar pula boleh mengakses sumber elektronik di Perpustakaan UMP menggunakan terminal komputer yang disediakan di dalam perpustakaan.
 

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Paparan log masuk akses dari luar kampus (Off-Campus Access Ez-Proxy)

2.     Pengguna yang layak mengakses 

Penggunaan sumber elektronik terhad kepada pengguna aktif (Authorized User) UMP sahaja. Bagi terma perjanjian, akses kepada sumber elektronik ini hanya dihadkan kepada pelajar dan staf sahaja. Selain dari Authorized User, adalah tidak dibenarkan menggunakan bahan tersebut. Walau bagaimanapun, untuk orang awam mereka boleh mengakses dari dalam kampus bagi mendapatkan bahan yang diperlukan untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. 

Pengguna boleh mencetak dan memuat turun artikel yang diperlukan untuk rujukan.  Pengguna tidak dibenarkan mengubah suai bahan, membuang dan mengubah sebarang hak cipta yang disertakan di dalam bahan.

3.     Muat turun artikel

Artikel atau maklumat dari sumber elektronik yang dilanggan tidak boleh dimuat turun secara sistematik (systematic download) atau diterbitkan semula dalam bentuk bahan bercetak atau elektronik. Pengguna juga tidak dibenarkan mengedar dan menyimpan maklumat dengan jumlah yang besar.

Contoh excessive  atau systematic muat turun yang dilarang: 
•    Muat turun secara drastik satu demi satu artikel.
•    Muat turun berterusan isi kandungan, hasil carian, sitasi.
•    Muat turun keseluruhan isu atau volume bagi eJournal.
•    Menggunakan “robot”, “spider”, “crawler” atau program automatik lain bagi memuat turun bahan sumber elektronik.

Aktiviti ini boleh mengakibatkan semua pengguna di UMP tidak boleh mengakses sumber elektronik tersebut dalam tempoh tertentu atau kehilangan akses secara kekal. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, Perpustakaan UMP berhak untuk memeriksa laporan penggunaan bagi mengenal pasti pengguna yang menyalahgunakan pangkalan data. Ia bertujuan sebagai langkah awal bagi menghentikan penyalahgunaan atau memulihkan perkhidmatan.

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Contoh e-mel yang diterima memaklumkan akses pangkalan data telah disekat.

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Pemakluman dari perpustakaan kepada semua pengguna

4.     Tidak menggunakan artikel untuk tujuan menjana pendapatan atau komersial

    Pengguna juga tidak dibenarkan untuk menjual semula, menyewa, memajak, memindah dan menjadikan perkhidmatan berbayar atau bagi tujuan komersial untuk setiap maklumat yang terdapat di dalam sumber elektronik tersebut. Penerbit boleh  memantau penggunaan sumber elektronik ini sama ada untuk tujuan pembelajaran atau komersial bagi memastikan syarat perjanjian lesen dipatuhi.

5.     Maksimumkan penggunaan

 

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Jumlah akses tahun 2019 dan 2020 dari 5 judul pangkalan data (Science Direct, IEEE, Springerlink, Taylor & Francis, SAE Mobilus)

    Pengguna adalah digalakkan menggunakan sumber rujukan elektronik yang telah dilanggan semaksimum yang mungkin bagi tujuan pendidikan, ilmiah dan penyelidikan. Dengan menggunakan sumber rujukan elektronik yang disediakan oleh perpustakaan, ia dapat membantu pengguna mencari maklumat yang boleh dipercayai dari sumber rujukan yang dipercayai. Akses yang maksima juga membantu meningkatkan statistik akses kerana jika kurang penggunaan kemungkinan langganan sumber elektronik tersebut terpaksa dihentikan untuk tahun seterusnya. Ini adalah kerana pihak pengurusan universiti telah membelanjakan dan memberikan peruntukan yang tinggi untuk memastikan sumber rujukan elektronik ini dapat terus diakses oleh semua pengguna.

    Selain itu, Perpustakaan turut menyediakan beberapa perkhidmatan yang dapat membantu pengguna dalam pencarian bahan atau mendapatkan panduan mengakses sumber elektronik ini. Pengguna boleh berhubung terus dengan pustakawan melalui Live Chat di portal perpustakaan atau hadir terus ke perpustakaan. Perpustakaan juga  menyediakan kelas pendidikan pengguna kepada semua warga UMP untuk meningkatkan kemahiran pencarian maklumat menggunakan sepenuhnya sumber koleksi yang disediakan. 

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Salah satu modul kemahiran literasi maklumat kepada pengguna perpustakaan

Kesimpulannya, sebagai seorang pengguna tidak kira pelajar atau pensyarah perlulah menggunakan setiap sumber secara bertanggungjawab dan memahami implikasi dari setiap aktiviti yang dilakukan. Setiap pengguna memainkan peranan masing-masing bagi menyokong dan mengekalkan perkhidmatan yang disediakan. Gunalah sebaiknya dan gunalah sebelum terlambat. 

Ilmu hanyalah alat yang merugikan ataupun menguntungkan, bergantung pada manusia yang memanfaatkanya.
(anonymous)

5 tanggungjawab warga UMP terhadap sumber elektronik yang dilanggan

Penulis ialah Pustakawan Kanan, Seksyen Pendidikan dan Penyelidikan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
Disediakan Oleh: Affida Abu Bakar
e-mel: affida@ump.edu.my

 

Reports by:
Admin UMP News