Skip to main content

Hindari stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19 dan keluarga

Umum mengetahui mengenai virus Covid-19 yang datang tanpa apa-apa tanda, membuat dunia terpinga-pinga yang menjadi detik hitam buat kita semua. Datangnya Covid-19 membawa perubahan besar bukan sahaja dalam sejarah pandemik dunia, malah kehidupan seharian kita. 

Ia bukan lagi penyakit baharu, mungkin varian yang hadir selepas ini, perlu dikaji kembali, namun manusia semakin akur. Ia bukan satu penyakit yang datang dan terus pergi. Hakikat yang harus ditelan, kita perlu terus hidup dalam normal baharu, yang sampai bila tiada siapa yang tahu. Kemajuan dunia, penciptaan vaksin membuatkan manusia mampu menarik nafas lega, walaupun peluang untuk dijangkiti masih ada. 

Data daripada laman sesawang rasmi Covid-19 Malaysia, sehingga 7 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 3,543 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,776,699 kes dan kes sembuh sebanyak 3,484 kes. Daripada jumlah ini, jelas kita perlu meraikan betapa ramainya bekas pesakit Covid-19 atau Covid-19 Fighter yang sembuh sekali gus berjaya mengharungi derita Covid-19. Mungkin mereka bukan pejuang barisan hadapan, perjuangan mereka berjuang melawan virus di dalam diri. Hanya mereka yang melaluinya akan merasainya peritnya sakit, hinanya dihina dan betapa kesihatan itu anugerah paling ternilai. Mungkin kita tidak sedari, walaupun Covid-19 mungkin hanya menyerang seorang sahaja dalam ahli keluarga, semuanya pun turut terasa. Apa yang dirasai? Bukan sakit itu yang dikongsi, tetapi emosi, yang tidak diketahui ramai orang, kecuali dirasai mereka sendiri.   

Yang menjadi persoalan, mengapa walaupun dengan pelbagai hebahan dari media mengenai pesakit Covid-19 yang sembuh tidak akan menjadi penyebar kepada orang lain, mereka ini masih disisih dan dipulaukan? Yang sentiasa perlu disemat dan diingati, mereka juga manusia biasa yang suatu ketika pernah berasa takut dan runsing sekiranya mereka pun menjadi salah seorang daripada yang terpilih menerima ujian ini. Mereka juga seperti kita, ada hati dan perasaan, punya keluarga yang perlu dijaga dan disayangi. Dan pada 4 Januari 2022, sebanyak 31 kematian dicatatkan. Dalam kegembiraan berjaya melawan virus ini, ada yang pengakhiran ditangisi. 

Dalam kenyataan akhbar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 12 Jun 2020 menyatakan hasil pemantau KKM, ujian rt-PCR Covid-19 bagi bekas pesakit Covid-19 akan kekal positif dalam jangka masa yang panjang kerana ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus. Walaupun begitu, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau tidak akan menyebarkan virus itu kepada keluarga terdekat. 

Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan dan KKM telah membuat kesimpulan bahawa keputusan positif COVID-19 bagi pesakit yang telah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati. Penemuan yang sama juga turut dilaporkan di beberapa  buah negara seperti Korea, China, Singapura, dan Jerman. 

Stigma ketakutan orang ramai terhadap bekas pesakit Covid-19 ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah dunia. Ini kerana, Covid-19 tidak mengenal negara, bangsa, agama dan status. Pada tahun 2020, dunia seakan berhenti seketika apabila lockdown dan di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan. Dalam satu tempoh masa, tiada lagi kapal terbang yang bebas terbang di awan biru dan tiada kebebasan manusia bergerak ke satu tempat, ke tempat yang lain. Ketika itu, tiada lagi perayaan diraikan besar-besar, aktiviti keagamaan dihentikan dan semua pergerakan hanya dalam lingkungan rumah sahaja. Bagaikan mimpi, kehidupan kita berubah. 

Sama seperti orang lain yang tidak dijangkiti, bekas pesakit Covid-19 juga selepas sembuh akan berpeluang dijangkiti kembali. Menurut pakar penyakit berjangkit, Dr. Frank Esper, Data Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika, kes jangkitan berulang memang jarang terjadi, namun masih perlu diberi perhatian. Ia akan kembali sekiranya tidak mengamalkan SOP, kekebalan tubuh daripada jangkitan awal mula berkurangan dalam tempoh masa dua tahun dan varian baharu. 

Oleh itu, stigma negatif ini seharusnya dihentikan kerana tanpa sedar akan menimbulkan diskriminasi sehingga mungkin ada pesakit Covid-19 yang sedar mereka positif daripada Kit Ujian Pantas (RTK) antigen malu dan takut untuk tampil secara sukarela bagi saringan dan mendapatkan rawatan. Yang perlu kita risaukan bukanlah bekas pesakit Covid-19, tetapi seseorang yang tanpa sedar pembawa senyap atau silent carrier. Disebabkan itulah, walaupun kita sudah lengkap dua vaksin, normal baharu masih perlu dijadikan amalan seharian. 

Sikap sesetengah majikan yang melarang bekas pesakit Covid-19 yang sudah sembuh tetapi masih perlu memastikan rt-PCR Covid-19 negatif, akan memburukkan lagi keadaan. Majikan seharusnya peka dengan saranan dan maklumat daripada KKM. Malah, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berdasarkan data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 140,608 orang telah hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 bagi tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos 2021.

Hindari stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19 dan keluarga

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan menyokong gagasan keluarga Malaysia, semua stigma, kata-kata nista, pandangan serong dan diskriminasi kepada bekas pesakit Covid-19 haruslah dihentikan. Kita perlulah bangun membantu mereka, bukannya mengelak, memulau atau melarikan diri. Mereka juga manusia biasa. Apabila dijangkiti, mereka akan diselubungi rasa bersalah kerana merasakan merekalah punca virus itu tersebar kepada keluarga atau kenalan terdekat, tetapi kita harus ingat, mereka juga salah seorang daripada yang dijangkiti. Mereka tidak minta semua itu berlaku. Mereka tidak mendoakan itu terjadi. Inilah antara salah satu sebab bekas mengapa bekas pesakit Covid-19 mengalami kesan psikologi yang tinggi. Pada masa inilah bukan sahaja pesakit, malah keluarga terdekat mengharapkan sokongan moral dan kata-kata positif daripada kita semua. Jangan pula kita melabel mereka sebagai kes atau mangsa Covid-19. Disebabkan itulah KKM sendiri tidak pernah mengumumkan atau mendedahkan nama pesakit kerana tidak mahu stigma negatif ini terus berleluasa. 

Sebelum kita mula melabel bekas pesakit Covid-19, tepuk dada, tanya diri, adakah kita mahu berada dalam situasi itu juga? Berhati-hatilah sebelum mula mendiskriminasikan seseorang. Pandemik Covid-19 adalah ujian untuk kita semua. Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam Rancangan Pesona D'zahra di Ikimfm (petikan daripada Berita Harian Online, 22 Januari 2015) pernah berkongsi, ujian bukan untuk menghukum, sekadar penuh hikmah untuk dijadikan ikhtiar. 

 

Hindari stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19 dan keluarga

Penulis ialah Penolong Pegawai Penerbitan, Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta
e-mel: nurhartini@ump.edu.my

 

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta