Skip to main content
rosjuliana

IBU MASAK ANAK CEMERLANG!

Ibu yang cemerlang melahirkan generasi yang cemerlang.Jika dilihat dari konteks psikologi, seorang ibu yang berilmu dapat membentuk generasi yang berpengetahuan. Kehebatan seorang wanita yang bergelar ibu dalam membentuk dan mendidik anak-anak tertulis dalam sejarah islam. Dalam era modenisme ini, kebanyakan para ibu mempunyai kerjaya dan ini merupakan cabaran bagi mereka dalam membesarkan anak-anak. Amalan penyediaan makanan oleh kaum ibu yang bekerja amatlah dititikberatkan kerana makanan yang baik mempunyai hubungkait dengan pertumbuhan  manusia.

Sebagai ibu berkerjaya, penyediaan makanan yang halal dan bersih adalah bermula dari rumah. Ibu perlu memastikan anak-anak makan makanan yang dimasak oleh ibu sendiri biarpun ibu mempunyai komitmen atau kerja. Hal ini kerana makanan yang baik membentuk pertumbuhan yang baik. Seperti kata ahli falsafah Ludwig Feuerbach  "Der Mensch ist, was er ißt" atau di dalam bahasa inggeris 'Man is what he eats' . Perkara ini membuktikan bahawa terbentuknya peribadi individu itu berdasarkan makanan yang diambil. Pemakanan yang baik mencorakkan tumbesaran anak-anak. Seperti petikan dari Surah Al Baqarah ayat 172, Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.

Dalam ayat ini, Allah mengingatkan agar makan makanan yang baik, dan menyeru agar sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang diberikan jika benar-benar beribadah dan menghamba kepada-Nya”.

Kini kebanyakan ibu yang berkerjaya mensejuk beku makanan yang dimasak semata- mata untuk memastikan anak-anak memperolehi makanan yang baik dan bersih. Hal ini juga merupakan salah satu cara yang baik bagi memastikan anak-anak makan makanan yang dimasak sendiri oleh ibu mereka.Seperti contoh, sup ayam, sup sayur, pasta dan sebagainya. Ada antara kaum ibu ini yang sangat peka terhadap nutrisi makanan yang diambil oleh anak-anak mereka dan ini mendorong kaum ibu terutama mereka yang bekerja bangun awal pagi demi menyediakan bekalan makanan buat anak-anak mereka.

Jika dilihat sekarang, banyak juga produk-produk muslim halal diperkenalkan.Masyarakat mula sedar akan kepentingan makanan halal dan bersih untuk tumbesaran anak-anak. Sebagai contoh, susu formula yang dirumus khas dan istimewa iaitu dengan kaedah pengilangan secara islamik dan menitikberatkan aspek kebersihan dan halal. Susu seperti ini juga diperkaya dengan makanan sunnah seperti buah kismis,badam dan juga kurma.Produk-produk seperti ini dapat membantu dan memudahkan para ibu bagi menyediakan makanan tambahan yang halal dan baik buat anak-anak.

Makanan yang halal dan berkat ada kaitannya dengan pembentukan peribadi dan tingkah laku manusia. Makanan yang halal dapat membentuk kekuatan jiwa manusia, juga dapat mempertingkatkan produktiviti individu.

          Menyediakan makanan yang bersih dan halal juga merupakan satu kewajipan sebenarnya.Menjadi ibu moden pada era ini semestinya pilihan penyediaan makanan yang bersih dan halal sebolehnya ingin dipraktikkan.

Kini terdapat banyak restoran-restoran yang mendapat pengiktirafan HALAL oleh Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia  (JAKIM).Para ibu yang sememangnya sangat sibuk dengan kerjaya boleh membeli makanan dari restoran yang diiktiraf halal oleh JAKIM dengan itu makanan yang dibekalkan kepada anak-anak diyakini bersih dan halal.

Apabila berbicara berkaitan Halal dan Bersih,ianya saling berkait rapat kerana sesebuah restoran atau premis yang menjual makanan tidak akan diiktiraf halal jika restoran atau premis makanan tersebut tidak bersih.Penilaian bagi pengiktirafan halal adalah sangat terperinci dan tiada keraguan.

Jika melihat kepada definisi HALAL itu sendiri ialah: Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak. Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa juga bentuk iaitu dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan.

Jelas di sini Proses untuk perolehan HALAL oleh sesuatu produk makanan atau premis makanan sangat terperinci bermula dari sumber makanan tersebut sehinggalah kepada penyediaan dan proses pengilangan makanan.

Selain dari aspek halal dan bersih, semestinya ibu akan memasak makanan dengan memenuhi cita rasa anak-anak mereka.Seorang ibu juga akan memastikan  anak-anak punya waktu kebersamaan iaitu menikmati makanan hasil dari air tangan mereka sendiri.Apabila seorang ibu itu memasak dengan rasa kasih dan sayang pastinya makanan itu mendapat lebih keberkatan.Seperti kata hikmah inggeris dari seorang pengasas,  penulis blog makanan dan fesyen   terkenal Camille Styles “Nothing brings people together like good food”.

Seorang pelajar tahfiz yang memperolehi 10A di dalam peperiksaan (SPM) Sijil Pelajaran Malaysia berkongsi cerita,beliau hanya makan makanan hasil masakan ibu beliau.Dan apa yang dapat dilihat dari konsistensi pengambilan masakan ibu,beliau mudah menghafal,mudah belajar dan hasil dari praktis ini juga beliau kini menjadi pelajar cemerlang samada dari sudut disiplin diri dan juga akademik.Tiada yang lebih membahagiakan seorang ibu selain mendapat anak yang cemerlang ruhani , jasmani dan juga akademik.

Maka para ibu sekalian pastikan anak-anak anda makan makanan atau memperolehi makanan harian yang halal kerana ini secara tidak langsung anda sebenarnya sedang membentuk diri anda menjadi seorang ibu yang hebat,penyabar dan bersungguh-sungguh dalam menyediakan makanan halal buat anak-anak yang tercinta.Kerana makanan terbaik adalah dari air tangan ibu sendiri.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi