Skip to main content

Impak pelaksanaan PEMERKASA PLUS dalam menghadapi PKP 3.0

Pada 31 Mei 2021 baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan satu lagi pakej bantuan kepada rakyat iaitu Pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA PLUS). Pakej bantuan ini adalah bertujuan untuk memastikan wujudnya keseimbangan antara live and livelihood. Pakej ini juga merupakan tumpuan kerajaan dalam memberikan bantuan bukan sahaja untuk melindungi nyawa rakyat tetapi juga menumpukan kepada kesejahteraan hidup rakyat terutamanya dalam memastikan rakyat masih mampu untuk meneruskan hidup pada saat-saat yang sukar ini. Ini bagi memastikan sumber pendapatan rakyat terus terjamin, peluang pekerjaan terus wujud dan sektor ekonomi dapat bertahan walaupun menghadapi keadaan yang sukar.

Kalau dilihat dari program PEMERKASA PLUS yang dibentangkan itu, jumlah RM40 billion merupakan jumlah yang agak besar dan mempunyai tiga matlamat iaitu untuk: 
Pertama: Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam;
Kedua: Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; dan
Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

Pakej bantuan kerajaan ini sememangnya tidak akan dapat menyalurkan bantuan kepada semua sektor dan rakyat Malaysia. Namun demikian, bantuan bersasar perlu diberikan kepada golongan yang sangat terkesan daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Seperti yang dijangkakan, pakej bantuan ini adalah bersasar dan tertumpu untuk memperbaiki perkhidmatan kesihatan dalam melawan wabak COVID-19. Ia juga memberi tumpuan kepada golongan rentan iaitu golongan B40 yang benar-benar akan terkesan daripada pelaksanaan PKP 3.0 yang lebih ketat. Selain itu juga, turut diberikan tumpuan adalah sektor perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini kerana, perusahaan mikro dan PKS adalah penyumbang terbesar sektor ekonomi negara iaitu sebanyak 90 peratus. 

Oleh itu, pakej bantuan PEMERKASA PLUS yang dibentangkan merangkumi aspek-aspek penting yang ditekankan oleh kerajaan pada waktu yang sukar ini.

Bantuan Moratorium Bersasar

Pemberian moratorium akan diberikan kepada golongan bersasar iaitu kepada semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran daripada kehilangan pekerjaan. Ia juga perlu diberikan kepada perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini.

Kesan pemberian moratorium ini akan dapat membantu aliran tunai individu, perusahaan mikro dan PKS dengan penangguhan pembayaran balik bayaran pinjaman atau pembiayaan bulanan selama tiga bulan atau potongan pembayaran pembiayaan sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan. Ia akan memastikan setiap individu dan PKS berkelayakan mempunyai lebihan tunai supaya dapat bertahan dan boleh menggunakan lebihan tunai itu untuk membiayai keperluan hidup dan meneruskan operasi perniagaan mereka.
 

Impak pelaksanaan PEMERKASA PLUS dalam menghadapi PKP 3.0

Memantapkan Kaedah Pemberian Vaksin

Ini adalah satu perkhabaran yang sangat baik kerana dengan mempercepatkan roll out pemberian vaksin maka akan lebih ramai rakyat yang boleh mendapat suntikan vaksin lebih awal dan matlamat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dapat disegerakan.

Bermula pada bulan Julai 2021, pemberian dos suntikan akan dipertingkatkan kepada 150,000 dos susulan daripada penambahan penerimaan vaksin daripada syarikat-syarikat pengeluar. Bagi penampung dan mempercepatkan kaedah pemberian vaksin, pusat pemberian vaksin ditambah, kaedah pemberian vaksin dibuat secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan. Ia sekali gus akan dapat membantu mempercepatkan pembentukan imuniti kelompok bagi mengekang jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Ini kerana, seperti yang kita sedia maklum, imuniti kelompok hanya akan berjaya apabila lebih 95 peratus penduduk dalam populasi menerima imunisasi dan akan dapat mengekang kebarangkalian virus berada dalam komuniti.

Melalui pakej PEMERKASA PLUS, kerajaan telah mengarahkan semua aset kerajaan seperti bas dan van digunakan sepenuhnya bagi membawa penduduk pendalaman terutamanya warga emas atau yang sukar untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana masalah pengangkutan. Bagi meningkatkan kesedaran rakyat, kempen kesedaran kepentingan pengambilan vaksin perlu dipergiatkan lagi oleh kerajaan. Ia bagi memastikan setiap rakyat sedar akan keperluan dan kepentingan pengambilan vaksin bagi mengawal jangkitan COVID-19 dalam komuniti dan menyelamatkan lebih ramai nyawa mereka yang berisiko tinggi

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Bermula pada bulan Jun 2021, sebanyak tambahan 2.1 bilion ringgit akan mula diagihkan dalam Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Ia akan diberikan kepada golongan rentan iaitu B40, bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500. Mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500. Bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima sebanyak RM300. Golongan bujang pula akan menerima RM100. 

Sumber: https://www.facebook.com/watch/live/?v=1150289282044179&ref=watch_permalink
Sumber: https://www.facebook.com/watch/live/?v=1150289282044179&ref=watch_permalink

 

Bantuan kewangan berterusan daripada kerajaan kepada golongan B40 ini sangat membantu dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan seharian terutamanya kepada mereka yang tidak dapat meneruskan perniagaan seperti biasa sepanjang tempoh PKP.

Bantuan kepada pengusaha dan pemandu bas persiaran, teksi, kereta sewa dan perkhidmatan pengangkutan e-hailing

Dengan penutupan sektor sosial terutama sektor pelancongan sepanjang tempoh PKP 3.0 ini akan menjejaskan pendapatan pemandu bas persiaran, pemandu teksi, kereta sewa dan perkhidmatan pengangkutan e-hailing. Oleh itu, dengan pemberian bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 akan dapat mengurangkan tekanan kewangan terutama bagi tempoh dua minggu penutupan sektor sosial ini.

Sebenarnya bantuan yang sama telah diberikan melalui Pakej Bantuan PERMAI sebelum ini dan didapati dapat membantu meringankan beban kewangan golongan ini yang kehilangan punca pendapatan.

Kelestarian ekonomi dan impak daripada pakej bantuan menjana semula ekonomi negara

Sepanjang negara menghadapi krisis kesihatan yang bermula pada akhir tahun 2019, kerajaan telah memberikan pelbagai bantuan dan inisiatif untuk menjana semula ekonomi sepanjang tempoh tersebut seperti Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Bantuan Khas (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Semua bantuan ini memberi pelbagai penekanan bagi memulihkan semula ekonomi negara mengikut peringkat yang dirancang.

Pada masa ini, negara sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu revitalize atau memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi tertumpu kepada usaha untuk merancakkan dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi.

Hakikatnya, bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah bersifat jangka pendek dan sederhana bagi menyediakan landasan (cushion) yang lebih stabil bagi mengurangkan impak kejatuhan ekonomi. Ini kerana, kerajaan tidak dapat lagi membantu menyalurkan bantuan kepada seluruh sektor ekonomi dan rakyat Malaysia kerana semua orang terkesan daripada pelaksanaan PKP 3.0 ini.

Walau bagaimanapun, tumpuan perlu diberikan dengan membantu mereka yang paling teruk terkesan iaitu golongan B40. Namun begitu, kita tak boleh hanya mengharapkan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi kerana jika masalah kesihatan awam masih berlanjutan, ekonomi semakin sukar untuk dipulihkan.

Rakyat Malaysia perlulah bersama-sama membantu kerajaan bagi mengurangkan kes jangkitan COVID-19 dengan terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin dan terus duduk di rumah terutamanya sepanjang tempoh PKP 3.0. Apabila masalah kesihatan awam dapat dikawal pada kadar yang rendah dan terkawal, maka kerajaan boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi terutama pemulihan ekonomi secara keseluruhan (makro).

Kaedah sectoral approach akan digunakan kerajaan bagi memulihkan sektor-sektor yang terjejas dan pada masa yang sama kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang baharu perniagaan melalui gig ekonomi dan e-business. Ini akan dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, pelaburan asing dan pelaburan dalaman daripada pelabur tempatan.

Apabila peluang perniagaan baharu diwujudkan, wujudnya pergerakan dalam ekonomi negara. Contohnya, kontraktor-kontraktor mendapat pelbagai projek melalui pelaksanaan projek-projek mega dalam negara. Daripada pergerakan dalam ekonomi negara ini, wujudnya kesan limpahan dan kemudiannya membawa kepada kesan rantaian yang akan membantu perkembangan perniagaan. Ia seterusnya akan membantu menjana dan memulihkan kembali ekonomi negara. 

Oleh itu, kita perlulah cepat mengatasi masalah kesihatan awam yang wujud di negara ini supaya tindakan segera boleh dilakukan kerajaan untuk membangunkan semula ekonomi negara.  
 

Impak pelaksanaan PEMERKASA PLUS dalam menghadapi PKP 3.0

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
Oleh : Dr. Noraina Mazuin Sapuan
e-Mel: noraina@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News